4 Rutin Penting Perlu Dilakukan Sebelum Tidur

Malam nak tidur saya ada rutin sendiri. Rutin ni biasa saya lakukan. Walaupun travelling saya akan cuba buat.

Antara rutin penting yang saya tak tinggal buat ialah:

1. Ambil wuduk

Bunyi ambil wuduk macam biasa biasa saja. Tapi hikmah spritual dan fizikalnya luar biasa.

Antara kebaikan berwuduk sebelum tidur ialah doa dari para malaikat. Nabi pernah bersabda:

“Siapa yang tidur dalam keadaan suci (berwudhuk), maka malaikat akan bersamanya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa, ‘Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci’”

(HR. Ibnu Hibban dari Abdullah bin Umar)

Bayangkan sepanjang 8 jam kita tidur, malaikat terus terusan berdoa untuk kita. 

Tapi kalau kita hanya 4 jam, maka panjang doa pun hanya 4 jam. Rugikan.

Hikmah ini dalam konteks spiritual. Dalam konteks fizikal, berwuduk turunkan suhu badan manusia. Bila suhu turun, hormon tidur melatonin mula keluar.

Bila melatonin keluar, kita mula rasa mengantuk. Mata berair. Jadi merah. Nafas jadi perlahan. Mulut menguap sakan.

2. Besyukur

Fokus pada perkara yang saya syukurkan yang terjadi pada siang harinya. Saya akan cuba listkan. Bandingkan dengan semalam.

Adakah hari aku jadi abdan syakura (hamba bersyukur) yang lebih baik dari semalam?

Kalau lebih banyak, syukur lagi. Kalau kurangpun syukur juga. Sebab Allah beri ruang untuk bandingkan dan baiki diri. 

Kenapa nak bersyukur sebelum tidur?

Saya terkesan sangat dengan ayat ini:

“Dan sesungguhnya, Kami telah menempatkan kamu sekalian di muka bumi ini dan Kami sediakan bersamanya sumber penghidupan untuk kamu. Tetapi sedikit sekali golongan (antara kamu) yang bersyukur kepada-Ku.’ (Surah al-A’raf 7:10).

Saya mahu masuk dalam golongan sedikit ini. Golongan yang sentiasa bersyukur.

Dalam konteks Sleep Science pula, orang yang tidur dalam keadaan bersyukur, tidur mereka lebih nyenyak.

Ini hasil kajian ke atas 401 orang seperti yang dilaporkan di Journal of Psychosomatic Research tahun 2009.

Hebatkan hikmahnya. Bersyukur nyenyakkan tidur.

3. Baca Al-Mulk

Surah yang miliki 30 ayat ini hanya perlukan 5 minit untuk dihabiskan. Pendek dan cepat.

Hikmah kebaikannya luarbiasa. Sebagaimana hadis hadis di bawah:

A) Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Al-Quran mengandungi satu surah terdiri daripada tiga puluh ayat yang akan mensyafaati pembacanya sehingga dia diampunkan iaitu Tabarakallazi biyadihil Mulk.” (Riwayat Abu Dawud, Ahmad, at-Tirmizi, Riyadh as-Salihin oleh Imam Ahmad)

B)Jabir r.a berkata bahawa sudah menjadi kebiasaan Rasulullah SAW tidak akan tidur selagi tidak membaca Tabarakallazi biyadihil Mulk dan Alim Lam Miim Sajadah. (Ahmad, Tirmizi dan Darimi)

Dapat pula pahala sunnah.

C) Daripada Ibn Abbas RA, beliau berkata, beberapa orang sahabat Nabi menggali tanah tanpa menyangka itu adalah kubur. Lalu didapati di dalamnya ada seorang lelaki yang membaca Surah al-Mulk hingga tamat.

Lantas beliau menemui Nabi SAW lalu berkata:

“Ya Rasulullah, sesungguhnya aku menggali tanah tanpa aku menyangka itu adalah kubur, dan aku dapati seorang lelaki membaca surah al-Mulk sehingga khatam. Maka jawab Baginda SAW, surah tersebut adalah penegah, penyelamat yang menyelamatkan tuannya daripada azab kubur.”(Hadith riwayat al-Tirmidzi : 2890)

4. Solat 2 Rakaat

Kalau ada masa lepas berwuduk solatlah 2 rakaat. 

Ada kisah dan hikmah yang hebat disebalik solat 2 rakaat ini.
Satu hari Baginda Rasul bertanya pada Bilal. 


“Wahai Bilal! Khabarkan kepadaku amalan yang paling utama telah kamu lakukan sejak memeluk Islam. Ini kerana, aku mendengar gerakan kaki di sisiku di dalam Syurga. Bilal menjawab: Tidak ada amalan utama yang aku amalkan kecuali aku akan berwudhuk pada waktu malam atau siang melainkan aku akan solat dengan wudhuk tersebut di samping solat-solat yang diwajibkan ke atasku.” [Riwayat al-Bukhari (1149)]
Bukan itu saja. Solat ini jaminannya ialah syurga. 

Sebagaimana maksud hadis berikut:

“Barangsiapa yang berwudhuk serta memperelokkan wudhuknya, lalu dia mendirikan solat sebanyak dua rakaat dalam menghadapkan keduanya iaitu hati dan wajahnya (khusyuk), melainkan akan dijamin baginya syurga.” [Riwayat Abu Daud (906).

Jadi bayangkan..
Di saat kita mahu pejamkan mata (mungkin mata itu tidak terbuka selamanya) kita telah lakukan amalan yang membawa manusia ke syurga. Moha moga kita juga kembali ke situ - jannatul firdausil a’la.

Saya kongsikan rutin kecil yang saya lakukan. Kalau ada manfaat ambil dan buatlah.

Kalau tidak betul, maklumkan pada saya. Biar amalan harian kita termasuk dalam amal soleh. 

Biar nanti kita berkampung di jannatul firdausil a’la. Dapat melihat Allah yang kita rindukan.

Anda Juga Mungkin Berminat

Kenapa Rasa Nak Pitam Bila Berdiri Tiba-Tiba?

Anemia Mampu Jejas Perkembangan Otak Anak?

14 Makanan Bantu Cegah Radang Apendiks!

8 Tips Mudah Jaga Kebersihan Gigi

Kenapa Negeri Pantai Timur Sering Dilanda Banjir?

Biji Cili Penyebab Radang Apendiks?

Scroll to Top