4 Tips Anak Tidur Nyenyak

Bagi sesetengah ibu bapa, saya yakin ada yang alami kesukaran nak tetapkan waktu tidur paling sesuai untuk anak mereka.

Tidur ni bukan senang-senang suruh si cilik pejam mata. Selagi tak mengantuk selagi tu mereka takkan tidur.

Betul tak?

Saya ada terima beberapa soalan mengenai tidur;

Saya guna lampu biru untuk halau nyamuk, tapi saya risau adakah cahaya tu akan pengaruhi kualiti tidur anak?

Waktu tengah malam saya sangat mengantuk tapi anak pula tidak nampak pun tanda nak tidur. Asyik aktif ligat bermain. Macam mana Dr nak atasi masalah ni?

Baiklah. Benda paling senang nak faham adalah masa tidur ni sudah semestinya bergantung kepada anak tu sendiri.

Kalau anak tak mahu tidur sebab tak mengantuk, memang mereka akan mula aktif bermain atau menonton TV.

Tapi!

Jangan digalakkan sangat sebab mereka akan terbiasa nanti dan akan selalu nak tidur lewat dan rela bersengkang mata.

Ada juga anak yang tidur awal tapi kerap terjaga waktu malam selalunya selepas 12 tengah malam. Tak kira bayi mahupun kanak-kanak.

Ibu bapa perlu tahu corak tidur anak dan melatih mereka untuk tidur sendiri.

Kalau yang ada anak kecil umur 2 tahun ke bawah, terutama bayi baru lahir agak susah sebab mereka tidak dapat memahami ritma kehidupannya lagi.

Jadi, saya mahu berkongsi 4 tips supaya anak dapat kualiti tidur terbaik;

.

.

.

1. Membacakan buku cerita untuk anak sebelum tidur.

Membacakan buku cerita yang ada infographik serta warna menarik untuk anak akan dapat membantu anak untuk tidur.

Aktiviti membaca ni paling santai jadi anak akan mendengar setiap bait ayat tu…lama-lama rasa mengantuk tu akan perlahan-lahan datang.

Kenapa penting mendongengkan kisah untuk anak ni terutama sebelum tidur?

Bercerita ni juga merupakan salah satu cara untuk perkenalkan anak kepada tabiat membaca.

Jadikan membaca ni sebagai rutin sebelum tidur kerana ia bagus untuk pertumbuhan kecerdasan minda si cilik.

Ada banyak sebab kenapa perlunya ibu bapa untuk bacakan cerita untuk anak;

Antaranya untuk kukuhkan hubungan kekeluargaan, perkenalkan kosa kata baru, bantu emosi proses serta pertuturan dan melatih tindak balas anak.

Buku cerita pula boleh dalam pelbagai tema seperti kisah dongeng, fantasi, fakta menarik, kisah para nabi dan sahabat.

.

.

.

2. Elakkan beri anak bermain gajet sebelum tidur.

Yang ini memang sangat penting sebab menggunakan gajet seperti smartphone akan buatkan mata terus berjaga, walaupun mengantuk.

Terdapat lebih banyak keburukan berbanding kebaikan jika bermain gajet terutamanya ketika waktu nak tidur.

Contohnya, tidur lambat sebab leka dengan gajet akan memicu kepada insomnia. Kena ingat yang si cilik perlukan tidur cukup untuk pertumbuhan.

Masa tidur pula lebih panjang berbanding dewasa kerana mereka sedang dalam fasa membesar.

Anak cerdas mindanya dan cerdik salah satu faktornya adalah tidur mencukupi, sebab itu pentingnya mendapat tidur berkualiti.

Tidur tidak mencukup akibat gajet akan beri dampak kepada perkembangan akademik dan sikap anak.

Jika anak tidak mahu juga tidur, sebaiknya bagi mereka main permainan kegemaran seperti puzzle. Benda yang tidak melibatkan tatapan skrin digital.

.

.

.

3. Pastikan suasana bilik tidur tenang dan tidak panas.

Suasana bilik tidur yang suam sejuk, tenang dan nyaman sangat mempengaruhi kualiti tidur anak.

Bayangkan kalau keadaan bilik terdedah kepada bunyi bising, lepastu panas…kita dewasa pun tidak akan lena tidur apatah lagi si cilik.

Macam mana lagi nak pastikan mereka dapat tidur yang berkualiti? Isi bilik tidur dengan barang kesukaan dan terapkan gaya yang simple dan tak melebih.

Penggunaan warna cat juga penting dengan memilih warna yang tenang seperti biru laut, pink muda atau paling senang warna putih.

Gunakan lampu yang tidak memacarkan terlalu banyak haba yang boleh buatkan seluruh bilik terasa panas.

Kalau nak pasang lampu untuk halau nyamuk sebaiknya letakkan jauh sedikit daripada katil.

Hiasan bilik ni juga perlu sesuai mengikut umur anak, jangan ikut citarasa sendiri.

.

.

.

4. Tetapkan rutin dengan membaca doa sebelum tidur.

Perasaan jenuh apabila terpaksa pujuk anak banyak kali untuk tidur awal. Haa…kena selalu ingatkan anak untuk baca doa sebelum tidur.

Ibu bapa juga boleh bacakan doa untuk anak, ni ilmu yang kena tuntut dan jadikan amalan.

Kita mahu anak-anak membesar jadi anak yang soleh/solehah jadi melentur buluh biarlah daripada rebungnya.

Kita sebagai ibu bapa inginkan anak untuk bersikap baik, mendengar kata dan menghomati orang tua.

Doa-doa ini InshaAllah akan membantu mengaktifkan minda separa sedar anak di mana anak akan dapat ingat dan serap apa yang kita ucapkan.

.

.

.

Kesimpulannya,

Bentuk satu rutin buat si cilik terutamanya sebelum tidur terutamanya jika mereka jenis susah nak tidur awal.

Amat penting untuk anak dapatkan tidur yang cukup serta berkualiti agar mereka dapat menjalankan aktiviti harian dengan tenaga optimum.

Si cilik akan bangun dengan tubuh badan yang lebih segar, menjadi lebih fokus dan lebih gembira.

Tidur mencukupi juga akan tingkatkan daya tumpu, memori dan produktiviti anak.

Semoga bermanfaat!

Anda Juga Mungkin Berminat

6 Penyakit Lebih Serang Lelaki Berbanding Wanita!

Lelaki Dan 4 Jenis Kanser (Hari Lelaki Sedunia)

ChatGPT Cabar Kepintaran Otak Manusia

23 Sayur Paling Berkhasiat Di Dunia!

22 Makanan Bantu Menguatkan Buah Pinggang!

23 Buah Tersihat Menurut Dietitian!

Scroll to Top
0