Setiap kali Ramadan menjelma, soalan yang sama pasti muncul di kepala seorang ibu ialah “Nak masak apa untuk berbuka dan sahur hari ini?”
Soalan ini nampak biasa. Namun hakikatnya, ia boleh menjadi punca pening kepala jika tidak diurus dengan baik. Tambah pula apabila selera anak-anak berbeza, suami pula ada kegemaran tersendiri. Silap hari bulan, ibu yang paling letih bukan kerana berpuasa, tetapi kerana memikirkan menu setiap hari.
Lebih mencabar bagi yang tinggal di negara dengan waktu siang yang panjang seperti di Australia ketika musim panas. Bayangkan sahur seawal jam 3:30 pagi dan berbuka hampir jam 9 malam. Tanpa perancangan pemakanan yang betul, badan boleh menjadi terlalu letih, emosi mudah terganggu dan fokus ibadah juga terjejas.
Makanan Bukan Sekadar Kenyang
Ramai ibu mula sedar bahawa makanan bukan hanya untuk mengisi perut. Apa yang masuk ke dalam badan anak-anak memberi kesan kepada tenaga, emosi dan tingkah laku mereka.
Makanan tinggi gula, bergoreng berlebihan atau dipenuhi bahan pengawet boleh menyebabkan anak cepat penat dan sukar fokus. Ada yang menjadi lebih sensitif dan mudah meragam. Sebaliknya, makanan seimbang yang kaya protein, lemak sihat dan serat membantu menstabilkan paras gula dalam darah serta menyokong perkembangan otak.
Sebab itu, memilih menu Ramadan bukan sekadar soal sedap. Ia soal kesihatan jangka panjang keluarga.
Strategi Bijak Waktu Berbuka
Berbuka tidak semestinya perlu hidangan berat dan beraneka jenis. Mulakan dengan yang ringan dan sunnah seperti kurma dan air kosong. Kemudian beri ruang kepada perut dengan sup yang hangat dan mudah hadam seperti sup ayam atau sup sayur.
Elakkan terus mengambil makanan bergoreng atau terlalu berat. Ramai yang mengadu rasa mengantuk ketika tarawih. Selalunya ia berpunca daripada makanan yang terlalu berminyak atau berlebihan ketika berbuka.
Menu utama yang lebih seimbang seperti ikan bakar, ayam panggang atau daging rebus bersama nasi beras perang dan sayuran hijau lebih membantu badan kekal bertenaga tanpa rasa terlalu kenyang.
Sahur Penentu Tenaga Seharian
Jika berbuka penting untuk memulihkan tenaga, sahur pula menentukan ketahanan sepanjang hari. Pilih makanan yang lambat hadam seperti oat, roti gandum penuh, telur dan yogurt asli. Tambahkan buah-buahan serta kekacang untuk sumber serat dan protein tambahan.
Pengambilan air juga sangat penting. Kurang minum ketika sahur boleh menyebabkan sakit kepala dan keletihan melampau pada waktu tengah hari.

Elakkan Perangkap “Reward Food”
Tidak salah sesekali menyediakan gorengan atau manisan sebagai hidangan istimewa. Namun jika ia menjadi rutin harian, badan akan mula memberi ‘isyarat’ tidak sihat contohnya berat naik, cepat lesu, dan sukar fokus.
Ramadan sepatutnya melatih disiplin, termasuk dalam pemilihan makanan. Tubuh badan adalah amanah. Jika diisi dengan makanan berkualiti, ia akan memberi pulangan tenaga dan kesihatan yang baik.
Kurangkan Tekanan, Tingkatkan Perancangan
Salah satu punca ibu cepat tertekan ialah keputusan menu dibuat secara spontan setiap hari. Cuba sediakan jadual mingguan. Senaraikan menu lebih awal dan beli bahan mentah sekali gus. Potong dan simpan bahan siap-siap agar waktu memasak lebih singkat.
Libatkan anak-anak di dapur. Minta mereka bantu basuh sayur atau susun meja. Selain meringankan tugas, ia mengeratkan hubungan dan mengajar mereka menghargai makanan.
Masak Dengan Niat Kasih Sayang
Akhirnya, menu Ramadan bukan tentang kemewahan hidangan. Ia tentang kesederhanaan dan keberkatan. Makanan yang disediakan dengan niat menjaga kesihatan dan kebahagiaan keluarga memberi kesan lebih besar daripada meja penuh lauk-pauk.
Apabila badan sihat, ibadah menjadi lebih fokus. Anak-anak lebih ceria. Ibu pula tidak lagi dibelenggu tekanan memikirkan menu setiap hari.
Ramadan sepatutnya menjadi bulan ketenangan, bukan bulan pening kepala.
Jika dirancang dengan bijak, dapur boleh menjadi tempat paling membahagiakan sepanjang bulan mulia ini.
