Bicara Hati Sang Suami

Robert masuk. Lontarkan senyuman dan duduk. Terus memandang padaku.

Senyuman masih melekat. Manis. Walau bergigi palsu.

Robert 82 tahun. Dirujuk oleh anak-anaknya. Kata mereka Robert murung atau depressed.

Apabila disoal, Robert mula bercerita. Dia baharu kehilangan isteri. Mereka berkahwin 62 tahun lamanya.

Robert bukan calang orang. Berstatus jutawan mungkin juga billionaire. Punya belasan syarikat.

Robert berkahwin pada tahun 1950. Punya 6 orang anak. Semua anaknya sudah bercucu.

Isterinya didiagnosa dengan kanser ovari pada 2010. Dua tahun selepas itu isterinya meninggal. Setiap detik Robertlah peneman setia sang isteri.

Apabila isterinya meninggal Robert duduk disebelah katil kosong isterinya. Lama. 4 hari lamanya.

Tiada kata. Tiada suara. Senyap.

Seolah dia masih meneman isterinya yang sedang tidur. Seolah ada bicara lagi mahu dikongsi. Seolah dia tidak puas menemani sang isteri.

Apabila disoal apa yang dilakukan 4 hari itu? Robert memandang ke atas. Ekor mata kirinyanya kemudian jatuh ke lantai. Nyata dia sedang menggali semula memori.

Robert bilang 4 hari itu ialah masa dia refleksi kehidupannya. Selama 62 tahun lamanya hidup bersama sang isteri.

Setiap hari bangun berteman. Makan berteman. Berjalan senaman bertemankan sang isteri.

Kini tiada lagi gelak ketawa sang isteri. TIada lagi bebelannya. Dia sudah tiada untuk menutur bicara.

Apabila sang isteri pergi, Robert seolah-olah jatuh ke dalam lohong hitam. Sunyi. Gelap. Jam hidupnya terberhenti.

Bayangkan perasaan Robert yang ditinggalkan selamanya setelah 62 tahun bersama sang isteri.

Baginya 4 hari tidak cukup. Mahu dipanjangkan lagi. Memori bersama sang isteri sangat indah untuk dibiarkan pergi.

Sang isterilah pencetus semangat untuk dia bangun setelah jatuh terduduk terpukul ombak puaka dunia bisnes. Sang isterilah cahaya penunjuk jalan baginya ketika dia tiada lampu menyongsong jalan di hadapan. Sang isterilah yang menyeka air mata tatkala Robert di sapa derita.

Air matanya menitis. Terus mengalir deras. Bergegar-gegar badannya.

Aku hanya perhati. Aku biarkan Robert melayan perasaannya. Lama dia dibiarkan dalam juraian air matanya.

Nyata anak-anak tidak mengerti. Mereka tidak faham derita sang suami menangisi sang isteri yang perginya tidak kembali.

Aku refleksi diri. Adakah aku akan jadi sehebat Robert? Mampukah?

Adakah kita menghargai orang yang dekat dan rapat serta senantiasa disisi?

Anda Juga Mungkin Berminat

13 Kebaikan Kacang Kuda Untuk Wanita

10 Kebaikan Minyak Zaitun Untuk Tumbesaran Anak

6 Penyakit Lebih Serang Lelaki Berbanding Wanita!

Lelaki Dan 4 Jenis Kanser (Hari Lelaki Sedunia)

ChatGPT Cabar Kepintaran Otak Manusia

23 Sayur Paling Berkhasiat Di Dunia!

Scroll to Top
0