Pulang ke rumah nampak buah betik dah kuning cantik. Terus ke pokok. Perhati. Betul dah masak.
Alhamdulillah. Terus petik. Beri pada CikPuan untuk uruskan hal ‘melapah’ kulitnya.
Pokok betik antara pokok paling mudah ditanam. Campak sahaja. Tidak sampai seminggu sudah bertunas.
Menarik tentang betik. Kebaikannya juga luar biasa. Saya lihat dalam jurnal, ada 6 kebaikan utama betik yang ramai tidak tahu.
1. PELEMBUT DAGING
Dalam betik ada papain. Tugasnya pecahkan molekul protein yang kuat pada daging. Cara untuk lembutkan daging mudah sahaja.
a) Potong 2-3 cm bahagian depan atau pangkal betik. Sekiranya ada tangkai dibuang tangkai itu. Gunakan betik yang belum masak.
b) Potong dadu isi betik dengan kulitnya.
c) Masukkan ke dalam blender dan kisar sehingga hancur. Masukkan sedikit air sekiranya perlu.
d) Ambil penapis halus. Tuang ke dalam bekas bekas. Pastikan jus betik ini masuk ke dalam bekas baharu.
e) Masukkan jus betik ke atas daging. Gaul hingga rata dan sebati.
f) Perap antara 2-3 jam. Sekiranya lebih ia akan sebabkan isi daging jadi kering. Setelah cukup waktu basuh daging itu.
Kaedah ini bagus dibuat untuk lembutkan daging yang dimasak bersama beriani.
2. ANTI OKSIDA
Saya suka bab betik dan anti oksida caretonoids pada betik. Jenis spesifiknya ialah lycopene.
Anti oksida ini perangai radikal bebas dalam tubuh. Apabila kita ambil junk food dan bergula, berlakulah radikal bebas.
Bahaya radikal bebas ia boleh sebabkan alzheimer. Lycopene inilah yang akan bantu neutralize radikal bebas. Pendapat ini dirakamkan di jurnal saintifik Clinical Intervention in Aging.
3. ANTI KANSER
Bab ini memang power. Siapa sangka betik yang mudah tumbuh dan murah adalah anti kanser. Terutamanya breast cancer. Jadi penting untuk puan dan cikpuan ambil betik ini.
Kajian tentang hal ini dibincangkan di jurnal saintifik International Journal of Food Sciences and Nutrition.
Pelakon utama yang jayakan watak anti kanser ini tidak lain adalah lycopene. Berikan tepukan untuk lycopene.
4. SIHATKAN JANTUNG
Adakah anda tahu tahap kesihatan jantung anda?
Kajian di The American Journanl of Medicine dapati vitamin C dan Lycopene dalam betik halang penyakit jantung.
Bukan sahaja bagus untuk jantung, ia juga menjaga prostat untuk lelaki dan halang tumor.
Baikkan betik?
5. ANTI INFLAMASI
Satu perkara menarik tentang betik ialah ia bersifat anti inflamasi atau anti radang. Ia turunkan jumlah C-Reactive Protein atau CRP - punca kepada inflamasi.
Sekiranya anda cuba turunkan berat badan tetapi gagal, kemungkinan puncanya ialah CRP. Antara kerja jahat CRP ialah ia membalut hormon kenyang Leptin sehingga otak tidak dapat kenalpasti hormon ini.
Akhirnya anda akan terus makan sebab otak fikir anda belum kenyang. Puncanya otak tidak dapat kenal hormon leptin.
Akibatnya tanpa disedari anda dengan bangganya terus melahap makanan.
6. HALANG KEROSAKAN KULIT
Bab ini penting untuk diambil tahu. Vitamin C dan Lycopene dalam betik jaga kulit dari berkedut, gelebeh, dan berbintik bintik.
Ringkasnya keduanya adalah sistem sekuriti menjaga kulit dari dirosakkan. Kajian dalam jurnal saintifk International Journal of Cosmetic Science dapati orang yang ambil betik 14 minggu berturut berjaya mudakan kulit mereka.
Apa lagi jom kita makan betik.
CikPuan isteri pun dah siap potong betik. Saya makan dulu ya