Cerita Tok Din: “Baguih Kalau Makan Jaga, Sampai Ke Tua Boleh Makan.”

 

Masa Raya Haji tahun 2012 jumpa kawan. Kami gelar dia Tok Din. Kami sebaya.

Tok Din orang ekstrovert. Cakap banyak. Cakap pandai kata orang sekarang.

Maklumlah ada bisnes sendiri. Bisnes warisan. Jual alat pertukangan dan kayu kayan.

Selalu ayat yang keluar dari mukut Tok Din, “Eleh diet apa. Menyusah ja. Selagi tak sakit kita makan. Nanti sakit dah tak boleh makan!”

Tok Din berlogik begitu. Masa sihat makanlah apa nak makan. Nikmati semua. Apabila dah sakit nanti tidak dapat makan lagi.

Logik ini dikongsi ramai orang. Ramai teman saya berfikrah sama. Ramai penganut fahaman ini.

Dua minggu lepas ada teman lain mesej. “Tok Din dah semakin teruk,” ayat dari mesej itu.

Saya telefon Tok Din. Bertanya keadaan. Dia masih cakap banyak. Terang Tok Din dia sudah punya sakit 3 serangkai.

Mata sudah kelabu dek retinopathy. Buah pinggang tinggal satu sahaja berfungsi. Penangan dari diabetes.

Sekali sekala terdengar Tok Din mengaduh. ‘Gout’ kata Tok Din.

Sebelum letak telefon Tok Din sebut “Kalau dulu ikut cakap hang, jaga makan, jaga tidur, ubah hidup sihat taklah aku jadi lagu ni. Seksa oi!”

“Baguih kalau makan jaga, sampai ke tua boleh makan. Macam aku lani, masin mulut sungguh, tak boleh nak makan dah!” Kata Tok Din dalam bahasa pekat utara.

“Silap sungguh aku! Silap sungguh! La ni nak buat lagu mana lagi. Tanggung azab la,” kata Tok Leh sambil ketawa kecil dan mengaduh.

Cerita Tok Din bukan cerita terpencil. Ini cerita biasa dalam masyarakat. Apabila bersenang senang dahulu, bersusah susah kemudian.

Terlajak perahu boleh diundur. Terlajak buat tanggung akibat.

Pesan saya pada diri pada usia tua saya mahu terus cergas bertenaga. Mampu ibadah sebanyaknya hingga hujung usia. Mampu letakkan dahi di tikar sejadah.

Saya tidak mahu usia tua nanti didakap derita. Saya tidak mahu jadikan katil sebagai sejadah. Saya tidak mahu jadikan hospital sebagai destinasi kunjungan.

Itu saya. Anda bagaimana?

Anda Juga Mungkin Berminat

Rahsia Terapi Muzik untuk Otak: 4 Cara Mudah Tajamkan Memori & Fokus

Tips Jaga Otak Ketika Shift Malam: 5 Cara Elak Otak “Burnout” Walaupun Kurang Tidur

Kenapa Badan Anda Dah Tak Sehebat Dulu Walaupun Masih Sihat

Kenapa Lagu Raya Klasik Lebih Melekat Di Hati Ini Jawapan Dari Sains Otak

Biskut Raya Bahaya: Sedap Di Mulut, Senyap-Senyap Rosakkan Otak & Jantung

Tauhu dan Kuah Kacang: Gabungan Sedap Tapi Boleh Ganggu Serapan Zat Besi?

Scroll to Top