Khasiat Susu Kambing

Bagaimana Mahu Hilangkan Jerawat

(1) Makanan Yang Perlu Di AMBIL Untuk Elak Jerawat

1 Jun 2019. Hari ini Hari Gawai di Sarawak. Waktu macam nilah 2 tahun lepas kebetulan 2 orang rakan sekolah Akhyar datang ke rumah.Budak budak ni nak bincang projek pertandingan Sains anjuran Swinburn University.

Akhyar berada di Tingkatan 4. Aliran Sains.

Seorang rakannya bertanya. “Kenapa muka Akhyar dan abang-abangnya tidak jerawat. Muka pelajar lain banyak sangat jerawat.”

Saya ketika itu sedang menulis di meja makan. Berhenti sejenak. Pandang wajahnya. Memang penuh jerawat.

Tengok muka anak sendiri pula. Memang tak ada. Sebelum ni tak perasan pun.

Soalnya lagi, “Kenapa ada jerawat dan macam mana nak hilang?”

Saya bilang saya bukan pakar kecantikan. Bukan dermatologist. Budak tu pandang dengan mata terkebil-kebil.

Lepas tu sorang ni senyum. “But you read a lot of research. Tell us please,” katanya seolah merayu.

Ramai yang terpasung dalam percaya jerawat adalah hal luaran. Jerawat adalah tanda sistem dalaman yang tidak seimbang. Puncanya di perut.

Asas kepada puncanya pula ialah makanan.

Diet yang tinggi gula dan makanan diproses adalah punca utama kepada jerawat.

Makanan jenis ini sebabkan meningkatnya insulin-like growth factor 1 (IGF-1). Tinggi IGF-1 sebabkan liang roma di wajah keluarkan sebum atau bahasa mudahnya jadikan muka berminyak.

Wajah berminyak ini menarik bakteria untuk membentuk gunung gunung berapi di wajah. 1GF-1 juga sebabkan sel kulit bernama keratinocytes meningkat. Sekaligus undang lagi bakteria kontraktor bangunkan gunung-gunung berapi di wajah.

Bayangkan macam geng bangla tengah bina bangunan. Ha macam tulah lebih kurang.

“Jadi nak makan apa uncle?” Ini bab yang saya suka.

Makan makanan ada lemak baik sangat bagus.

Saya terangkan contoh makanan lemak baik. Selain avocado, chia seeds dan dark chocolate ada lemak sihat. Ikan seperti ikan kembung, sardin, tuna, bawal emas pun ada lemak sihat.

Budak budak ni angguk laju jer bila saya sebut bab ikan. Kenal ke tidak ikan tu entahlah.

“Kalau tak suka ikan boleh ambil buah zaitun yang warna hitam tu. minyak zaitun dan kelapa pun bagus. Campurkan dalam makanan bukan sapu atau muka ye,” tambah saya lagi.

“Ooo,” mucung saja mulut mereka bila terpacul perkataan ooo ni.

Saya sebut boleh cuba makanan yang rendah Glycemic Indeksnya (GI). Saya jelaskan pula tentang GI ini dan contoh makanannya.

Mereka ni angguk sahaja. Tak ada komen. Fahamlah kot.

Kuncinya pada dua jenis makanan ini. Bahagian dalaman. Jaga usus.

Yang disapu di atas muka itu sekadar membuang daki dan kulit mati sahaja. Orang di Amerika belanjakan lebih dari RM8.8 bilion setahun untuk hapuskan jerawat dengan membeli produk sapuan.

Walau besar belanjanya, jerawat masih berpesta di atas wajah. Rugi sahaja.

(2) Makanan Yang Perlu Di ELAK Untuk Elak Jerawat

(i) Karbo Ringkas

Orang selalu komplen muka naik jerawat. Sakan pula tu. Macam macam ditempel, disapu dan ada juga dipicit. Geram punya pasal.

Antara punca banyak gunung berapi ini muncul ialah terlebih keluar insulin. Macam mana insulin boleh keluar?

Karbo ringkas seperti nasi putih, roti putih, donut, corn flakes atau mee tingkatkan gula dalam darah. Tubuh keluarkan hormon insulin untuk turunkan gula dalam darah.

Lebih banyak insulin keluar lebih banyak terhasil minyak pada wajah. Pori pori di muka tersumbat. Natijahnya jerawat tumbuh.

Menambah “seri” pada wajah. Tidak lembabkan wajah. Tapi lembabkan otak sahaja.

Jadi kalau nak elak jerawat kena elak apa?

 

(ii) Elak 8 Makanan Ini

Baru baru ni jumpa kawan-kawan anak. Masa jumpa dia orang nampak excited terlebih. Tak tahulah kenapa.

Sebelum ni dah pernah jumpa. Tak lah teruja macam ni. Masa jumpa sebelum sebelum ni muka sesuci embin pagi.

Jumpa kali ni, tengok muka sorang sorang terkejut. Penuh manik manik bertaburan. Penuh jerawat.
.
Time jumpa siap ada yang di tangan ada french fries. Pembalut warna merah. Nampak sedap jer dia makan.

Dalam hati dok fikir sebab nilah kot punca jerawat. Selain french fries ada 8 lagi ‘makanan’ boleh tumbuhkan jerawat dengan bangganya:

1. Makanan dibuat dari tepung putih seperti roti putih, donut, mee, roti canai, nan, pizza.

2. Makanan yang diproses seperti potatoes chips, donut, pie

3. Susu yang diproses. Ditambah perisa dan warna.

4. Ais krim

5. Minuman berkarbonat

Makanan Tidak Berkhasiat

6. Jus buah buahan komersil

7. Coklat bar yang dicampur susu. Bukan pure coco

8. Cereal

Kalau kita sayang wajah, elaklah. Kalau mahu hapuskan gunung berapi di atas pipi, dagu dan dahi, tinggalkanlah. Kalau mahu muka licin berseri, jauhilah.

Kita punya pilihan, bijaklah memilih. Kalau tersesat jalan kembalilah ke pangkalnya.

(3) Jaga 7 Perkara Ini

Pagi tadi waktu tengah asyik marking terdengar perbulan pelajar perempuan. Dia orang tak sedar saya ada dalam bilik. Rancak sembang sambil gelak gelak bab kulit.

Mungkin topik kulit topik hot pada pelajar wanita mungkin. Hebat perbincangan mereka sehingga saya yang berkunci di dalam bilik pun dapat dengar. Semang cerita sembang deraih.

Saya tidak dapat tidak terpaksa dengar. Walaupun cuba fokus pada marking. Saya fikir dalam hati “Menarik juga tadah telinga bab ni”.

Maklumlah gen Z. Boleh juga tahu cara fikir mereka tentang penjagaan kulit.

Bila dengar saya jadi kecewa. Mahunya tidak. Rata rata sebut pasal aspek luaran. Apa yang perlu ditempek kat muka. Keluarlah segala jenis nama produk.

Ada yang saya tak pernah dengar.

Tambah frust tak ada satupun cerita pasal aspek dalaman. Apa yang perlu diambil untuk hasil kulit lebih anjal, licin seperti baharu diseterika serta berseri.

Mahu tahu kunci dan rahsianya?

Apa yang BAIK untuk OTAK baik juga untuk KULIT. TIPSnya seperti berikut:

(i) Ambil buah tinggi vitamin C dan vitamin E. keduanya bertindak sebagai anti oksida. Hapuskan radikal bebas.

(ii) Banyakkan makanan berserat tinggi. Buah dan sayur adalah contoh makanan berserat.

(iii) Elakkan makanan karbohidrat ringkas. Roti putoh, kuih muih adalah antara contohnya.

(iv) Banyakkan pengambilan air. Ya air kosong. Bawa bekal air kosong pergi ke mana mana. Senang nak minum nanti.

(v) Elakkan gula putih – manis yang kedutkan kulit dan penambah jerawat pada wajah. Sangat buruk untuk Otak.

(vi) Tangani stres dengan efektif. Tidak perlu meroyan. Tidak perlu juga mengulang sebut “aku stress”

(vii) Dapatkan tidur yang mencukupi dan berkualiti. Tidur yang terganggu dan tidak cukup sebab kulit jadi kedut.

Poin pentingnya jaga yang dalaman. Baharu jelmaannya yang kita idam idamkan. Kalau tidak, jenuh tempeklah kita.

(4) Jaga Tidur

Tengahari semalam terserempak dengan Ani. Pelajar tahun 2. Asal JDT.

Ani anak sulung dari Felda. Bercita tinggi. Pencapaian akademiknya agak hebat.

Ani yang kenakan tudung ala Neelofa mahu tahu tentang Beauty Sleep.

Apakah benar wujud istilah ini. Katanya soalan ini sebahagian dari tugasannya.

Cerita Ani, sudah lama abaikan tidur. Tidur apabila tugasan selesai. Biasanya sekitar jam 2 atau 3. Jam 5:30 pagi pula sudah bangun.

Biasalah manusia. Akan sedayanya abaikan tidur. Begitu juga Ani.

Kasihannya Ani, kulit wajahnya suram. Jerawat bak cendawan tumbuh selepas hujan. Kesan parut jerawat lama pula degil tidak mahu menghilang.

Dalam bicara Ani nyatakan risau hati. Makin diletak dan ditempek bedak dan ubat jerawat makin seperti meletak baja. Tumbuh melata merata rata.

Pesanku pada Ani. Mahu dapatkan KULIT ANJAL, jauh dari jerawat, bebas dari jeragat jawapan ada pada anugerah Allah pada manusia -TIDUR.

Waktu tidur kulit baiki diri. SELF HEALING mengambil tempat. Malamlah dia bekerja.

Menyapu toner semulajadi. Menyental debu daki pada pipi. Keluarkan sisa kulit mati.

Apabila malam tiada sisa untuk tidur, tiadalah self healing. Kulit mengedut sesuka hati. Bina garisan semahunya.

“Berapa lama SELF HEALING ini doktor?” soal Ani beriya.

“Tidak lama,” jawabku. “Sekitar 7-8 jam sahaja.”

“Alamak,” jerit Ani. “Patutlah macam macam benda letak kat muka tapi kekal begitu. Ada kesan pun sekejap jer.” kata Ani lagi sambil. Menepuk kepalanya.

Apabila TIDUR diabaikan lahir wajah kusam, berkedut serta undangan awal ke hari tua. Apabila TIDUR itu cukup merapat kembali KECANTIKAN dan KEAYUAN kulit.

Saya tertanya-tanya, kulit yang bagaimana yang tuan/puan mahu?

Anda Juga Mungkin Berminat

6 Penyakit Lebih Serang Lelaki Berbanding Wanita!

Lelaki Dan 4 Jenis Kanser (Hari Lelaki Sedunia)

ChatGPT Cabar Kepintaran Otak Manusia

23 Sayur Paling Berkhasiat Di Dunia!

22 Makanan Bantu Menguatkan Buah Pinggang!

23 Buah Tersihat Menurut Dietitian!

Scroll to Top
0