Mendoakan Disaat Mahu Menghina

 

Jumaat dua minggu lepas. Waktu itu mahu terbang ke KL. Penerbangan lepas solat Jumaat.

Bergegas ke bandara untuk check in. Orang pula ramai dari biasa. Beratur panjang. Selesai check in terus bergerak ke masjid berdekatan.

Sampai di masjid Khatib sudah mula berkhutbah. Orang ramai hingga berdiri di luar.

Sewaktu melangkah hampiri masjid terlihat susuk tubuh anak teman, HA. Anaknya sekadar lepak di luar masjid sambil berbual dengan rakannya.

Pada saat itu sahabat saya BS terus sebut, “Eh itu bukan anak HA ke? Ya, Allah, ayah bukan main jadi imam siap ceramah masjid sana masjid sini.”

Saya diam. Tiada suara. Tiada reaksi.

BS sambung. “Tu lah ceramah pandai sangat. Bubuh orang sana bubuh orang sini. Tengok anak sendiri tak reti jaga.”

Saya tidak ulas. Terkilan dengan kata kata BS.

Saya doakan anak itu. Biar jadi lebih baik dari apa yang disangka. Biar jadi penyejuk mata ayah bonda.

Saya bayangkan sekiranya di luar pagar itu anak saya sendiri. Saya tidak sanggup diri dan anak di kutuk. Lebih baik saya doakan. Itu lebih baik.

Saya teringat apa yang disebut oleh Sheikh Yasin di Melbourne. Saat itu menadah kitab belajar Fiqh Hanafi.

Dalam suara lantang Sheikh Yasin sebut “Bukanlah kehebatan kerana segulung ijazah yang kita miliki. Bukanlah kehebatan kerana pangkat besar yang disandang, bukanlah kehebatan kerana memliki rumah besar.

Hebat manusia ialah di saat dia mampu mengutuk dan mengherdik, dia berhenti. Hebat manusia lalah di saat di mampu marah, dia menahan diri. Hebat manusia ialah di saat dia mampu maki, tidak puas hati, dia mendoakan.”

Saya terkesan dengan kata kata Sheikh Yasin. Saya kutip mutiara ini.

Dulupun saya seperti BS. Bermata lalat. Cepat menghukum dan ketawakan orang.

Sikap begini tidak membantu.

Saya percaya si ayah HA mahukan anaknya baik dan soleh. Saya percaya si ayah HA telah lakukan yang terbaik untuk mendidik anak. Saya percaya si ayah dambakan kebaikan untuk diri dan keluarganya.

Mungkin ramai beranggapan keburukan yang terhidang adalah ujian untuk ayah dan si anak. Tetapi ramai alpa ujian itu juga untuk mereka yang melihat.

Mengherdik, mengutuk dari belakang tidak selesaikan masalah. Apa kata didoakan. Biar kebaikan merakyat.

P/S : Saya suka berkongsi ilmu ilmu tentang OTAK & kesihatan di telegram saya. Klik link untuk sertainya t.me/neuroversiti

Anda Juga Mungkin Berminat

13 Kebaikan Kacang Kuda Untuk Wanita

10 Kebaikan Minyak Zaitun Untuk Tumbesaran Anak

6 Penyakit Lebih Serang Lelaki Berbanding Wanita!

Lelaki Dan 4 Jenis Kanser (Hari Lelaki Sedunia)

ChatGPT Cabar Kepintaran Otak Manusia

23 Sayur Paling Berkhasiat Di Dunia!

Scroll to Top
0