Tolong Beritahu ” Jangan Jatuhkan Hukuman Seumur Hidup Untuk Diri Sendiri “

Ketika itu baharu lepas Asar. Dia ada di luar. Di atas buaian.

Angin bertiup tenang ketika itu. Dalam ayunan buaian berombak rambutnya. Pandangannya jauh. Tembus.

Sesekali dia mengetuk lututnya. Dahinya berkerut. Mulutnya mengaduh, tanda kesakitan menggigit.

Aku hampiri. Bertanya. Apa yang difikirkan.

Dia berpaling. Senyum. Tangannya masih mengusap tempurung lutut.

‘Sakit ni,’ katanya sambil menunjuk kepada lututnya. ‘Dah tua macam nilah,’ sambung si Dia lagi.

Aku dengar. Berat mulut rasanya mahu menyampuk. Dalam hati sarat rasa simpati.

“Nilah jadinya bila nak sedap saja. Malas pulak tu,” katanya sambil ketawa kecil.

“Apa yang sedap, apa yang malas?” aku ringankan mulut bertanya. Seolah terbuka mulut yang terkunci dari tadi.

“Dulu nak makan sedap saja. Minum mesti manis manis. Makan tidak bercatu tidak bermasa. Malam malam pun makan juga.

Asyik duduk terbenam ja. Lepak tengok tv. Tak ada bersenam senam ni.

Kalau keluar mesti mengeteh. Kadang kadang mengoka kola. Duduk di kedai lama-lama.” si dia terus bercerita. Beria sekali.

“Sebab tu umur 40 dah kena kencing manis. Lepas tu jantung pula. Gout pun sampai.”

“Mata dah tak nampak. Kena retinopathy. Satu buta terus. Satu lagi 50% ja.”

“Ni buah pinggang, satu dah padam” katanya sambil menunjuk nunjuk ke arah buah pinggang. “Doktor suruh buat hemodialysis.”

Aku tekun mendengar. Rasa berat sekali. Bayangkan tanggungan tuan punya badan.

“Dah jadi macam ni menyesal pun tak guna. Mata dah buta, kaki sakit tak boleh jalan jauh, buah pinggang rosak, ubat jadi makanan. Macam kena hukuman penjara seumur hidup,” si dia lagi. Suaranya bergetar

Kali ini gugur air matanya. Mengalir laju. Menitis satu persatu atas kain pelikatnya.

Aku sentuh bahunya. Ku usap usap belakangnya. Tiada suara.

Kepalanya yang tunduk diangkatnya. Dia memandang tepat ke arahku. Tanganku dipegangnya.

“Jaga diri elok elok. Jaga makan. Rajin-rajin bersenam.” Aku angguk. Berkaca mata ini.

“Sedap itu sementara. Seronok itu sekejap. Sakit itu lama. Tidak ada titik tidak ada koma

Tolong sampaikan pada orang ramai, jangan jatuhkan hukuman penjara pada diri sendiri. ” sambungnya lagi. Tanganku digenggam kuat.

Aku angguk tanda faham. Air mataku mengalir. Tidak dapat di tahan.

Aku melihat wajah si dia. 32 tahun menderita. Di hujung usia berada dalam selimut derita.

Aku fahami dan hayati deritanya. Si Dia dipanggil mengadap Ilahi ketika berusia 74 tahun.

Si Dia adalah Haji Abu Bakar Mohamad. Dia bapaku.

“Wahai ayah, ketahuilah mesej ayahanda sedang anakanda sampai sampaikan. Supaya tidak ada ibu atau ayah orang lain menderita. seperti ayahanda.”

Anda Juga Mungkin Berminat

Resepi Brownie ‘Sihat’ Tanpa Guna Tepung

6 Tips Kawal ‘Craving’ Makanan Bergula

2 Resepi ‘Nampak Simple Tapi Power’

Ini ‘Rahsia’ Kurangkan Kalori Nasi Putih

7 Tips Simpan Rempah Ratus Agar Tahan Lama

9 Kesan Membaca Al Quran Ke Atas Otak

Scroll to Top