Pernah tak anda alami situasi ini?
Jam sudah hampir pukul 2 pagi. Bilik dah gelap, bantal dah disusun cantik-cantik, baring dah pejam mata tapi otak langsung tak mahu berhenti. Tiba-tiba muncul balik wajah bos masa mesyuarat tadi dan teringat bil-bil yang belum dibayar. Kemudian fikiran mula melayang ke masalah kelmarin, minggu lepas, bulan depan.
Badan terasa berat seperti dilenyek. Tapi mata tetap terang seperti siang.
Keesokan paginya, anda bangun bukan dengan rasa segar. Sebaliknya kepala berdenyut, mata bengkak, dan mood habis.
Inilah yang dialami oleh berjuta-juta manusia setiap malam. Dan ramai yang masih tidak tahu ini bukan sekadar masalah “susah nak tidur.” Ini adalah insomnia, dan ia ada kaitan langsung dengan apa yang berlaku di dalam otak kita.
Kenapa Otak Susah Nak “Tutup” Walaupun Badan Dah Penat?
Kunci kepada masalah ini ialah hormon penting yang dikenali sebagai melatonin.
Melatonin adalah “suis tidur” semula jadi badan kita. Apabila hari mula gelap, otak sepatutnya rembeskan hormon ini untuk bagi isyarat kepada seluruh badan, Sebagai contoh: “Okay, masa untuk tutup kedai dan berehat.”
Tetapi ada satu tabiat biasa yang kita lakukan setiap malam yang sebenarnya mensabotaj proses ini.
Kita bawa telefon ke katil.
Cahaya biru daripada skrin telefon “menipu” otak kita. Otak terima isyarat bahawa hari masih terang. Maka pengeluaran melatonin pun terbantut. Anda terus terjaga walaupun badan dah menjerit minta rehat.
Menurut laporan Harvard Health: Pendedahan cahaya biru hanya 2 jam sebelum tidur boleh kurangkan penghasilan melatonin sehingga 50%. Separuh daripada suis tidur anda sudah dimatikan sebelum anda sempat berbaring.
Selain itu, hormon stres kortisol yang tinggi akibat tekanan kerja turut menyebabkan otak kekal dalam mod “berjaga-jaga.” Walaupun badan dah berbaring, otak masih berlari macam ada musuh yang nak datang.
Bahaya Besar Yang Ramai Tidak Ambil Serius
Ada yang berkata, “Alah, 4 jam pun cukuplah. Saya masih boleh berfungsi.”
Pernyataan itu sangat bahaya.
Semasa kita tidur nyenyak, otak menjalankan satu proses penting yang tidak boleh berlaku pada waktu lain, iaitu proses pembersihan toksin. Setiap hari otak kita menghasilkan sisa protein berbahaya yang dikenali sebagai beta-amyloid. Hanya semasa tidur dalam, sistem pembersihan otak akan aktif dan buang semua sisa ini.
Kalau tidur tidak cukup, toksin ini terkumpul. Dari masa ke masa, ia merosakkan sel-sel otak dari dalam.
Kajian perubatan menunjukkan pengumpulan protein beta-amyloid ini adalah antara punca utama penyakit Alzheimer (nyanyuk) yang berlaku apabila kita semakin tua. Kurang tidur hari ini boleh beri kesan kepada otak anda 20 tahun akan datang.
Cara Betul Jaga Kualiti Tidur Anda (Sleep Hygiene)
Bergantung kepada ubat tidur bukan penyelesaian jangka panjang. Yang perlu dibaiki ialah tabiat dan persekitaran tidur anda sendiri.
Cuba amalkan cara ini:
1. Peraturan 3-2-1 Sebelum Tidur
Ini cara paling mudah untuk sediakan otak masuk mod rehat:
3 jam sebelum tidur: Berhenti makan makanan berat seperti nasi, mee Ini kerana sistem penghadaman boleh mengganggu kualiti tidur.
2 jam sebelum tidur: Berhenti buat kerja pejabat atau bincang perkara berat. Otak perlu mula perlahan.
1 jam sebelum tidur: Tutup semua skrin. Gantikan dengan baca buku atau perkara yang menenangkan.
2. Jangan Tertipu Dengan Kopi Petang
Kafein boleh kekal aktif dalam darah selama 6 hingga 8 jam. Secawan kopi pukul 4 petang bermakna separuh daripadanya masih mengalir dalam badan anda pukul 10 malam. Jadikan pukul 2 petang sebagai waktu kopi terakhir anda pada hari itu.
3. Kosongkan Minda Sebelum Berbaring
Kalau otak masih penuh dengan senarai kerja esok hari, ambil buku nota dan tulis semua yang bersarang dalam kepala anda. Bila dah dipindahkan ke kertas, otak akan rasa lega kerana tugas “mengingat” sudah diserahkan kepada kertas bukan otak lagi.
4. Bilik Gelap Gelita
Tutup lampu sepenuhnya. Elakkan tidur dengan lampu menyala kerana ia mengganggu rembesan melatonin walaupun mata sudah terpejam. Ini juga penting untuk mendapat tidur nyenyak yang berkualiti kepada badan.
Kesimpulan: Tidur Adalah Ubat, Bukan Pembaziran Masa
Ramai orang sanggup berbelanja banyak untuk suplemen kesihatan mahal, tapi gagal melabur dalam perkara yang paling percuma dan paling berkesan iaitu tidur yang cukup dan berkualiti. Tidur bukan untuk orang yang malas. Ia adalah proses pemulihan otak dan badan yang paling penting dan tidak boleh digantikan dengan cara lain.
Jika anda sayang dengan badan dan otak anda, mulailah malam ini. Letak telefon jauh dari katil. Pejam mata. Dan benarkan otak anda melakukan kerjanya membaiki, membersihkan, dan menyiapkan anda untuk esok yang lebih baik. Selamat malam dan selamat berehat.

