Seorang Tua Di Kaki Bukit

Hari ini teringat kisah berbual dengan Pak Hassan tahun lepas.

Bahasa Kedahnya yang pekat. Namun lenggok bahasanya tetap memikat.

Pak Hassan sekali sekala berjenaka. Terserlah giginya. Masih tersusun rapi.

Tiada gigi palsu. Dari raut wajahnya, aku menduga usia sekitar lewat 50an.

Sangkaanku meleset. Umur Pak Hassan sudah 75 tahun.

Ketika berbual anak cucunya penuh di rumah. Ada yang memasang telinga mendengar.

Ada yang buat endah tak endah. Lalu lalang sesuka hati.

Sekali sekala Pak Hassan menjeling ke arah cucu-cucunya yang giat menunjuk aksi pada tetamu.

Apa istimewanya lelaki ini? Sudah berumur namun masih mengerjakan sawah sendirian. Masih berkebun di bukit.

Apa rahsianya? Badannya masih tegap. Masih berulas. Rambut beruban tipis.

Tidak bercermin mata. Walau membaca. Mengaji pun sama. Masih bersandar pada organ yang asli.

Hatiku melonjak-lonjak mahu bertanya apa rahsia.

Pak Hassan nampak muda dari usia. Masih bertenaga. Pendek kata otai masih berbisa.

Pak Hassan pernah dituduh ‘membela hantu’ disebabkan tubuhnya dan raut wajahnya yang tidak dimakan usia.

Dituduh bersahabat dengan makluk ghaib kerana ada kudrat orang muda walau dihujung usia.

Ketika bercerita ada ketika matanya berkaca. Ada masanya beliau menggeleng-geleng kepala beberapa kali.

Apatah lagi ketika mengenang peristiwa lama difitnah sedemikian rupa.

Peristiwa fitnah mengundang petaka. Isterinya makan hati. Kecewa hingga murung dan meninggal akhirnya.

Aku hanya mampu mendengar. Air mata bergenang jua. Apatah lagi tatkala mendengar suara sebak Pak Hassan.

Usai cerita Pak Hassan aku gagahi untuk bertanya.

Apa rahsia amalan Pak Hassan hingga di hujung usia masih bebas dari sebarang penyakit?

Ya, Pak Hassan tidak ada penyakit.

Pak Hassan bercerita. Tips Pak Hassan mudah. Tergabung pada S.A.G.A.’S.

S = Senaman. Pak Hassan ada rutinnya. Hujan atau tidak Pak Hassan akan bersenam.

Apabila aku ceritakan tentang aktiviti Power Morning , Pak Hassan mengangkat jari memberi tanda bagus.

“Hang buat lagu tu ka? Kalau hang ajaq depa macam tu, memang depa pun akan jadi baguih,” katanya bersungguh.

Aku senyum dan menggangguk. Bersyukur apabila tradisi orang dulu dan penemuan sains hari ini bersatu.

A = Ais free. Pak Hassan tidak pernah mengambil minuman sejuk dan berais.

Kegemaran beliau ialah air kosong. Katanya orang mula sakit apabila berdamping dengan ais.

Mula letih apabila berkawan dengan ais.

G = Gula free. Pak Hassan tidak minum atau makan bahan yang diletak gula. Baginya haram untuk tubuh.

Makanan Tidak Berkhasiat

A = Asli. Pak Hassan ambil makanan yang tidak diproses. Mesti sumber asal. Beliau lebih gemari sayur-sayuran dan buah-buahan segar.

S = Spiritual. Pesan Pak Hassan hubungan dengan tuhan mesti nombor satu. Andai ini dijaga, perkara lain akan tersusun teratur untuk kita.

Kata Pak Hassan “Tidak perlu membela, tidak perlu berkawan dengan makhluk ghaib.”

“Jaga hubungan dengan tuhan. Usah miskin meminta kerana Allah kaya memberi. Nak apa mintak dengan Allah.”

Pesan Pak Hassan bersungguh-sungguh.

Aku dengar. Aku lihat. Aku rasa. Aku akur.

Aku bersyukur apabila OCOC meniti di titian yang sama dengan ilmu Pak Hassan.

Aku temuinya di perguruan tinggi di barat dan timur. Pak Hassan warisinya dari orang terdahulu.

Insyaa Allah ianya akan dikongsi di Modul Online di neuroversiti ini.

Sihat adalah jihad.

Anda Juga Mungkin Berminat

Apa Beza Turun Berat Dengan Turun Lemak?

Multitasking – Berguna Atau Sebaliknya?

5 Penyakit Bawaan Air Ramai Tak Tahu

Bukan Sekadar Bina Otot – Ini 8 Fungsi Protein

Rahsia Makan Bawang Merah? Penawar Banyak Penyakit!

Punca Lutut Berbunyi & Sakit Ketika Berjalan

Scroll to Top