Semalam teman bertanya tentang anak saya.
” Boleh ceritakan semula bagaimana Doc bantu anak yang mengatasi masalah lambat bercakap tu.
Doc pernah share sebelum ini. ” Luah teman itu.
Saya mulakan bicara.
“Anak- anak masih kecil ketika menjejak kaki ke Melbourne.
Ada sukarnya. Ada debarnya.
Haikal, anak kedua masuk Childcare pada tahun 2003. Ketika itu Haikal berumur 3 tahun.
Haikal lambat bercakap. Ini mengundang khuatir.
Semasa lahir Haikal berisi. Rambut Blonde. Sehingga digelar anak Bosnia.
Di sekolahnya, guru lahirkan kekhuatiran yang sama.
Saya minta guru beri masa. Ini waktu transisi ujar saya.
Berubah dari bahasa Pulau Pinang ke bahasa Aussie.
Pekatnya berbeza. Lenggoknya boleh memening kepala.
Guru akur asalnya. Masa diberi. Minta juga saya bawa kepada pakar untuk periksa Haikal.
Saya anggukkan kepala sahaja. Asal guru berhenti memberi ceramah percuma.
Angguk bukan tanpa makna bersetuju.
Minggu berganti bulan. Haikal terus diam.
Mulutnya seolah ada mutiara berharga. Sukar sekali menutur bicara.
Risau isteri bertambah. Saya katakan Haikal perlukan masa.
Ini bidang saya. Sampai masa saya akan buatkan program untuk Haikal.
Waktu itu saya di Monash University, Clayton. Berbincang dengan pensyarah berkenaan intervensi awal.
Saya jelaskan isu Haikal pada mereka.
Minggu berikutnya, rangka intervensi saya siapkan.
Perbincangan dilanjutkan. Mereka bersetuju. Pelan tindakan diatur.
Objektifnya untuk membolehkan Haikal bercakap.
Intervensi awalnya ialah
1. Mengambil gambar Haikal dalam semua aktiviti yang dilakukan.
2. Gambar disusun mengikut aktiviti.
3. Ditampal di sekitar rumah. Lokasi yang dia selalu kunjungi.
Contoh mudahnya ialah ketika makan. Gambar Haikal makan diambil.
Gambar Haikal mengangkat pinggan diambil. Gambarnya membawa pinggan ke sinki diambil.
Juga gambarnya sedang membasuh tangan dan mengelap tangan. Semua aktiviti.
4. Gambar-gambar akan ditujuk pada Haikal.
Setiap aktiviti dijelaskan. Haikal diminta mengulang.
5. Cakap sepatah-sepatah. Bahasa ringkas. Bahasa kanak-kanak.
6. Gambar juga dicetak dalam saiz kecil. Ditampal pada pembaris panjang.
7. Ketika duduk santai, gambar-gambar Haikal dan aktiviti makan itu, ditampal , diterang dan ditanggalkan. Satu demi satu.
8. Bahasa mudah. Pendek. Bahasa kanak-kanak.
Strategi ini dibuat setiap hari. Untuk setiap aktiviti.
Impak pada minggu kedua menakjubkan.
Saya sedang menyiapkan tugasan program sarjana ketika itu.
Telefon bimbit berdering. Nombor dari Childcare tertera.
Dada berdebar. Bukan waktu pulang. Baru dua jam Haikal ditinggalkan di Childcare.
Saya menjawab. Tunggu suara balasan di hujung corong. Cikgu Nicol rupanya.
Suara seperti cemas dan teruja. Minta saya ke Childcare Centre dengan segera. Soal saya kenapa.
Jawabnya ringkas. “Just come Rizal.” Debaran makin kuat. Saya tinggalkan tugasan.
Berjalan pantas. Sampai di pagar, Nicol terus meluru.
Bicara pertamanya ialah “Haikal talks to me just now!”
Lumrah orang introvert. Saya kekalkan tahap kool.
Tidak menunjukkan tahap keterujaan yang tinggi. Dalam hati girangnya tidak terkata.
Mahu sahaja melompat dan mendepakan tangan setinggi-tingginya.
Saya tanya pada Nicol apa yang berlaku.
Haikal ceritakan padanya langkah-langkah dia mengorek tanah.
Cikgu berkata tidak pernah terjadi sebelum ini.
Ini kali pertama Haikal bercakap setelah hampir setahun di Childcare.
Saya dengan bangga berkata Haikal perlukan masa.
Seperti yang saya cakapkan awal-awal dahulu.
Usai peristiwa itu, Haikal lancar berbicara. Adakalanya kena minta diam sebentar.
Teknik menggabungkan bahasa visual, auditori, kinestetik dan digital berkesan untuk Haikal.
Yang dirangsang adalah keseluruhan otaknya.
Tujuannya untuk kenalpasti orientasi pembelajaran Haikal.
Rupanya Haikal orang kinestetik. Belajarnya perlu pegang. Perlu sentuh. Perlu rasa.
Jadi itulah yang diberikan pada Haikal.
Anak kita tanggungjawab kita.