Salman mulakan bicara. Soal beliau “Kenapa aku masih di takuk lama? Aku study sampai peringkat tinggi kot?”
Aku diam. Hanya melihat Salman. Hanya pasang telinga.
Salman menguis tanah dengan ranting kecil di tangannya. Seolah membuat lakaran di atas tanah. Asyik.
Ya betul. Salman studi tinggi. 3 menara tinggi di takluknya.
Tapi itu 10 tahun lepas. Usai studi tiada lagi pengajian. Telaahnya hanya bidang studinya.
Tiada ilmu tentang kehidupan dipelajari. Ilmu kuasai diri di pandang sepi. Ilmu mampu lonjakkan diri diletak ke tepi.
Salman hidup dalam bayang kisah silam. Sarat dengan fikiran kelam. Sarat kata-kata negatif yang sentiasa mengancam.
Dia seolah terpasung. Seperti anak gajah yang terikat kaki. Apabila besar masih terasa pasungan. Tidak mampu gerak diri.
Aku bersuara. “Man, ilmu perlu diperbaharui. Apabila apa yang kita ketahui setakat membawa kita ke daerah sama, itu malapetaka.
Apabila ilmu kita ada hanya menjadi air pusar menarik kita ke dalam lubuk air, itu tragedi.
Apabila ilmu yang kita ada hanya mampukan kita hidup seadanya itu petanda perubahan perlu dijana.”
Salman diam. Terkesima. “Jadi aku kena buat apa?” soal beliau.
“Man kalau ada program boleh bantu tingkat potensi, kau hadir. Boleh minta dengan organisasi. Kalau mampu bayar sendiri.”
Salman masih diam. Pandangannya jauh. “Ok kalau kau tahu ada apa-apa program beritahu aku.”
“Insyaa Allah boleh sangat.” Aku senyum. Belakang Salman aku tepuk-tepuk.