“Ada perbezaankah antara dua kalimah ini?”
Itu persoalan yang dibangkitkan oleh anak perempuan tunggal saya, Maryam Safiya.
Soalnya ringkas. Berbicara dalam Bahasa Inggeris dia melontarkan soalannya.
“Kenapa ayah tak dipanggil ulama?”
Pada ketika saya tekun membelek buku-buku yang ada dalam koleksi saya.
Buku dibelek kerana terkesan dengan kata-kata Guru Public Speaking No 1 di Malaysia Dato Roslan Ab Hamid bahawa 50 buah buku perlu dibaca setahun.
Saya mengira berapa buah buku dah berjaya dihadam sehingga kini. Lumayan juga.
Saya berpaling pada anak sambil tersenyum.
Dalam hati terbetik juga persoalan bagaimana soalan ini dijawab sebaiknya.
Cara mudahnya ialah dengan menyoal balik.
Dengan lembut dan tersenyum saya tanyakan “Apa yang menyebabkan Maryam Safiya fikir ayah perlu dipanggil sebegitu.”
“Ya lah. Ayah belajar psikologi, pasal otak, dan pasal manusia lebih dari 12 tahun. Kerja lebih dari 20 tahun. Buat PhD di universiti no 1 di Australia. Sebab tulah.”
Tak terlintas langsung difikiran saya pada waktu itu, poin-poin yang akan Maryam Safiya sebutkan ini.
Balas saya ringkas. “Maryam Safiya betul. Lama ayah belajar dan bekerja.
Perkataan Ulama itu selalu digunakan untuk orang yang pandai dan mahir dalam hal agama.
Kalau mahir dan cerdik dalam hal lain dipanggil pakar.”
Maryam Safiya terus mencelah. “Jadi sebagai pakar ayah layaklah cakap pasal hal-hal psikologi dan otak ni. Betul ayah?”
“Betul,” jawab saya.
“Jadi kalau ayah sebut tentang sesuatu, orang kena ikutlah kan?”
Tanya Maryam Safiya lagi.
“Kalau tak ikut pun tak mengapa. Kalau ada orang ikut Insya Allah ada manfaatnya,” balas saya dengan cepat.
“Jadi kenapa pelajar-pelajar ayah tak ikut cakap ayah.” Maryam Safiya terus mengasak seakan menguji.
“Itu Maryam Safiya kena tanya pelajar-pelajar ayahlah,” saya menjawab sambil menyeringai senyum.
“Ada yang ikut,” jawab saya.
“Yang ikut otak jadi cantik dan cerdik. Keputusan peperiksaan meningkat. Ada yang dapat semua A. Yang berbadan gempal jadi lebih slim. Yang malas jadi rajin. Yang lembab berfikir jadi lebih baik.”
“Wow bagusnya,” Maryam Safiya menepuk tangan sambil melompat.