in

Cry Cute LOL Love OMG

Belakang Parang Jika Diasah Akhirnya Tajam Jua

Cerita hampir 40 tahun dulu. Masuk darjah satu. Tiada persediaan tadika.

Sekolah di SRK Seri Permai. Bersebelahan Airport Bayan Lepas.

Pergi sekolah jalan kaki. Bawa beg kotak ala ala Mr Bean. Menyenget jadinya.

Beg sandang macam sekarang belum wujud lagi.

Sekolah dulu tidak sama. ABC masih diajar pada tahap darjah satu. Sekarang berbeza.

Masuk sekolah terus sudah boleh baca. Di Tadika sudah diajar semuanya.

Waktu masuk sekolah dulu memang masuk dalam kategori buta huruf. Tak kenal huruf. Cikgu sebut buta perut.

Ada Cikgu siap buat lagi. Limau purut tiga serangkai. Buta perut tak dak akai.

Aku senyum. Tidak faham lagi. Dengar bunyinya macam sedap jer. Itu guru zaman dulu. Sekarang berbeda.

Dulu miskin. Ayah tak mampu hantar tadika. Jadi umur enam tahun hanya mampu melangut tengok rakan rakan lain pergi tadika.

Meleleh air liur. Teringin tahap dewa. Tapi tak mampu bersuara untuk meminta.

Di sekolah telinga selalu dipulas. Perut dicubit. Hadiah utama sebab tidak tahu membaca.

Rakan-rakan sekelas semua boleh membaca.

Semua ke tadika. Semuanya nampak hebat belaka.

Oleh kerana sakit dicubit, aku mula takut ke sekolah.

Pada emak dan ayah tak berani beritahu. Gagahi juga setiap pagi untuk ke sekolah.

Rupanya istiqamah itu ada hikmah. 

Perlahan lahan secara sendirian buat ulangkaji.

Cuba baca sendiri sendiri. Kalau sangkut baca ayah dicari.

Ayah pula lebih garang dari guru. Kalau silap pasti kena luku (ketuk kepala).

Tapi aku rela diluku ayah dari dicubit guru.

Peperiksaan pertengahan tahun dapat tempat tercorot. Merah belaka.

Apabila ayah tanya kenapa merah? Aku jawab “pen biru cikgu dah habis dakwat kot?”

Ayah luku kepala lagi. Aku tadah jer kepala.

Habis diluku, aku gosok-gosok kepala. Sakit baq hang.

Peristiwa ini buatkan aku tanam tekad.

Periksa akhir tahun mesti power. Aku mula pasang strategi.

Ke mana mana bawa buku. Buat semangat. Ada masa dijenguk-jenguk buku.

Belakang parang yang asyik diasah akhirnya tajam jua. Itu yang berlaku.

Apabila keputusan keluar, tiada lagi warna merah.

Pen biru cikgu tak habis dakwat barangkali. Aku tenguk kolum Kedudukan Dalam Kelas.

Tertulis nombor 2. Kedudukan Dalam Darjah juga nombor 2.

“Kiranya dapat nombor 2 lah kot,” aku monolog sendirian.

Cikgu pula mula puji. Ada juga pantun dari cikgu

“ Naik beca pergi pantai. Rajin baca jadi pandai.” Aku senyum. Pantun untuk aku barangkali.

Dengan buku laporan di tangan aku pulang ke rumah. Rasa bangga tinggi. Tunjukkan pada ayah.

Dia senyum. Katanya

“ Tadika bukan tanda akan berjaya. Tanda orang berjaya ialah rajin membaca. Baca itu usaha.”

Aku angguk. Konon-kononnya faham ketika itu.

Kata kata ayah itu sampai sekarang masih jelas dalam ingatan.

Kata kata itu aku pegang. Aku mula bersahabat dengan buku.

Kuncinya mudah. BACA.

Itu juga ayat pertama yang dibaca pada Baginda (baca selawat)

Boleh boleh ?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Ingat – Lupa

Puasa & Otak