Hari ini Udin menjengah ke bilik lagi. Di saat banyak pelajar pulang bercuti, Udin tinggal di kampus.
Tidak pulang. Banyak tugasan dan ujian pertengahan semester sedang menunggu.
“Boleh ganggu Dr?” Udin mengeluarkan pertanyaan biasanya.
“Ye Udin. Apa cerita? Macam mana dengan tips saya bagi tempohari? Dah amalkan.” Tanya saya bertalu-talu.
Udin seperti biasa. Tersengih. Masih menampakkan barisan gigi kuningnya.
“Tak de apa-apa Dr. Tips yang Dr sebut tu saya sedang buat. Kesan bagus. Saya tak mengantuk lagi dalam kelas. Boleh fokus. Badan pun jadi ringan.” Panjang penjelasan Udin.
“Bagus kalau macam tu. Kalau kita merancang hidup dengan baik, kebaikan juga hasilnya.” Balas saya ringkas.
“Dr. nak tanya sikit boleh?” kata Udin menjelaskan maksud sebenar kedatangannya.
“Tanya apa Udin?” Soal saya dengan pantas.
“Kalau orang gosip atau cakap benda-benda yang baik pasal kita dan kita dengar, apa yang terjadi dalam otak kita sebenarnya?” Tanya Udin seolah-olah melontarkan soalan cepumas.
“Begini Udin. Kalau orang bergosip yang baik pasal kita dan dibelakang kita dan ditakdirkan kita dengar, ada satu bahagian otak akan menjadi aktif.” Panjang pula ayat jawapan saya kepada Udin.
“Bahagian mana Dr?” Tanya Udin seolah-olah tidak dapat menunggu lagi.
“Sabar Udin. Bagi saya jelaskan dulu.” Kata saya sambil tersenyum sambil mengurut dada menyuruh Udin untuk bersabar.
“Bahagian yang aktif ialah bahagian yang terletak di belakang dahi kita. Namanya Superior Medial Prefrontal Cortex. Bahagian ini antara fungsinya ialah menyelia Kognisi Sosial. “
“Tugasnya mengawalselia pemikiran, tingkahlaku dan tindakan kita. Kawalan ini berlaku pada situasi sebenar atau sekadar khayalan atau persepsi kita.” Sekali lagi saya membuat syarahan perdana di depan Udin.
Saya terus menyambung bicara lagi. “Satu lagi fungsi bahagian ini ialah menyalur corak pemikiran kita, tingkahlaku dan tindakan berdasarkan matlamat dan sasaran dalaman kita. Akhirnya hormone dopamine (yang menyebabkan kita rasa seronok) dikeluarkan oleh otak.”
“Sebab itu kita rasa gembira bila dipuji.” Sambung saya pendek.
“Oh, patutlah kita syok bila dipuji. Baru saya faham.” Balas Udin penuh keceriaan.
“Jadi Dr macamana pula dengan gosip buruk. Atau mengumpat?” Tanya Udin mengumpan saya untuk meneruskan bicara.
“Nanti kita sambung Udin. Nak azan Zohor dah ni. Boleh Udin?” soal saya.
“Alah Dr. Hmm. Oklah nanti sambung lagi.” Balas Udin penuh kekecewaan.
Saya hanya tersenyum, bangun dan melangkah keluar.
Andai mahu membahagiakan orang, andai mahu otak cantik:
# Rajin-rajinkan menyebut kata-kata baik.
# Puji pada tindakan. Puji pada hasil kerja. Bukan pada orang.
# Puji tapi berpada-pada. Puji dari hati.
# Sentiasa buat yang baik-baik pada orang.
# Andai dipuji, ucaplah Alhamdulillah.