Kekebalan Mental – Bersyukur Di Saat Diuji

6 April 2016.

Petang tadi terserempak dengan Rais. Rakan di universiti dulu. Lama tidak bertemu.

Bertandang ke Kuching kerana ada tugasan rasmi.

Lazim orang lama tidak bertemu. Banyak cerita bertukar ganti.

Rais seorang yang ceria. Dalam ceria wajahnya, mata deritanya terserlah jua.

Cerita Rais cerita sedih.

Suatu malam yang dingin telefonnya berdering. Kakak sulung dihujung talian.

“Emak tak sedarkan diri. Sekarang dibawa ke hospital. Cepat datang,” suara kakaknya ringkas berbau cemas.

Sesampai Rais di hospital emak disahkan mengalami aneurism. Pembuluh darah di otak pecah.

Tak dapat diselamatkan. Kata Rais emaknya masih muda ketika itu. Baru berusia 51 tahun.

Tiada penyakit. Sentiasa sihat dan ceria.

Terus aku teringat akan ibuku. Meninggal di pangkuan ayah pada malam jumaat.

Berusia 50 tahun. Tanpa penyakit. Di sijil kematian tertera sakit tua. 50 tahun masih muda.

Mungkin sukar menulis mati kerana ajal atau masa telah sampai barangkali.

Pada ketika itu kata Rais, dunia dan masa seolah-olah berhenti bergerak. Semuanya pegun.

Dirinya seolah-olah hilang dari alam realiti. Disangkanya itu sahaja episod derita. Rupanya ada episode kedua.

Selang dua minggu episod kedua cerita duka menjengah. Isterinya tiba-tiba pengsan usai pulang makan malam.

Perkahwinanya atas dasar suka sama suka. Tapi tiada zuriat walau usia perkahwinan menjengah tahun ke lima.

Rais masih ingat detik episod sedih kedua. Ketika kaki melangkah masuk ke apartment, tiba-tiba isterinya menyebut sesak nafas.

Layu dan longlai beberapa saat kemudian. Di sambut oleh Rais dengan cemas.

Mulut berbuih. Rais pula hanya mampu mengungkap “Allah…Ya Allah”. Tidak keruan ketika itu.

Untuk beberapa ketika Rais tenggelam punca. Diangkat isterinya. Direnjis air ke muka.

Nadi cuba dikesan. Gagal. Tiada respons. Akhirnya muncul buah fikiran untuk memanggil JPAM. Selang lima belas minit JPAM muncul.

Hasil pemeriksaan isterinya disahkan meninggal. Tapi masih perlu dibawa ke hospital untuk proses seterusnya.

Tiada perkataan keluar dari mulut Rais. Berat sekali. Air mata mengalir deras ketika itu.

Sederas-derasnya. Tak mampu dibendung lagi.

Rais mengambil keputusan berpindah rumah. Apartment dijual.

Tidak sanggup hidup berlatar belakangkan kenangan silam. Terlalu pilu.

“Mujur aku ambil psikologi dulu,” kata Rais meneruskan cerita. Ada beberapa tips yang digunakan oleh Rais rupanya.

Aku berminat untuk tahu bagaimana Rais teruskan kelangsungan hidupnya.

Kata Rais “Mudah je. Aku berpegang pada tiga benda ni. Membantu aku membentuk kekebalan minda.”

1. Jadikan kata-kata orang berjaya sebagai pembekal semangat. Setiap pagi selepas baca Al-Quran, baca kata-kata hikmah orang-orang berjaya.

Buat sebagai rutin. Baca berkali-kali. Agar lekat di kepala.


2. Buangkan sikap dengki, irihati atau sakit hati dengan kejayaan orang atau posting positif rakan FB di wall mereka.

Baca dengan lapang dada. Ringankan mulut ucap tahniah. Ucapan dari hati. Seolah-olah didengar rakan.

3. Bersyukur dengan apa yang kita ada dan tidak ada. Tidak perlu membanding-banding dengan orang. Sentiasa berlapang dada.

Aku terdiam. Cuba membiarkan Rais meneruskan bicara. Dia berhenti pada angka ketiga itu.

Ku katakan pada Rais “Subhanallah, hebatnya ujian engkau Rais.”

Matanya berkaca. Hampir sahaja manik-manik jernih yang berkumpul di bibir matanya mengalir turun. Cepat-cepat Rais menyapu matanya.

Seperti Saudara Mohamad Azhari Abu Bakar, orang hebat seperti Rais juga diuji. Yang kukagumi ialah di mulutnya berbunyi BERSYUKUR DI SAAT DIUJI. Sungguh halus pekerti pada Ilahi.

Anda Juga Mungkin Berminat

14 Kebaikan Minum Air Kosong Pada Suhu Bilik

4 Tips Pemakanan Untuk Ibu Hamil

29 Makanan Kaya Kalsium Untuk Tulang Kuat

Bagaimana Cara Kenalpasti MSG Dalam Makanan?

6 Makanan Tingkatkan Sistem Imun Segera

Pengganti Gula Putih Untuk Kesihatan

Scroll to Top