Makan & Hidup

Hidup kita untuk makan? Atau kita makan untuk hidup?

Bunyinya hampir sama. Tetapi keduanya berbeza.

Sedari tinggal di Melbourne, kagum dengan bangsa Eropah yang menyukat makanan.

Kecekalan mahu berubah. Konsisten dalam amalan.

Seorang rakan bernama Victoria hanya membawa sayuran segar. Diletakkan dalam bekas kedap udara.

Waktu makan dikeluarkan, dihiris kecil dan dimasukkan ke dalam mulut.

Nampak sedap cara beliau mengunyah. Nampak santai. Tak ada kuah. Jauh sekali minyak.

Victoria seorang jururawat. Lebih dari 25 tahun bekerja. Penampilan sentiasa terjaga. Nampak muda.

Beliau rajin bekerja. Kerja mantap. Jarang bercuti.

Fikirnya tajam. Idea selalu bernas. Selalu nampak ceria.

“Kenyang?” pernah saya lontarkan soalan ini. Semestinya sambil tersenyum.

“Kita makan untuk hidup Rizal. Bukan hidup untuk makan. Nak sihat. Nak cantik. Nak kurus.”

Jawab Victoria mengangguk tanda kenyang dengan senyuman meleret.

Victoria adalah antara best friend saya semasa bekerja di Satelit Klinik Kesihatan Mental di Melbourne.

Maklumlah saya seorang sahaja lelaki di situ.

Saya tanya cara hidup Victoria.

Bagaimana wanita separuh abad, masih bujang dan jarang-jarang sakit ini menjalani kehidupan.

Jawabnya (Sebahagian sahaja):

1. Pukul 8:30 dah tidur. Kalau tidak on call.

2. Tiada TV. Tiada internet selepas jam 6:30 petang.

3. Minum teh hijau. Membantu untuk tidur. Alasannya ada Theanine. Tidur jadi nyenyak.

4. Masa lapang dihabiskan dengan membaca.

Santai diluar rumah dengan berkebun. Buat Sudoku atau teka silangkata.

5. Seawal pukul 4 pagi dah bangun. Bukan untuk tahajjud. Bawa anjing berjalan.

Senaman untuk beliau juga. Dua-dua makhluk ini jadi sihat.

Apa yang Victoria buat ada alasan saintifik. Hidupnya sentiasa sihat.

Hati tenang. Kawan-kawan mudah dekat.

Kita pun mahu begitu juga. Ikut cara Victoria.

Kita mahu sihat supaya mudah untuk beribadat.

Cuma bangun awal tahajjud bukan bawa anjing berjalan.

Sihat itu jihad.

Anda Juga Mungkin Berminat

5 Kudapan ‘Brain Food’ Untuk Elak Letih di Pejabat

15 Manfaat Teh Hijau untuk Kesihatan & Kecantikan

Persekitaran Tidur: 7 Faktor yang Mempengaruhi Kualiti Tidur Anda

Mikroplastik dalam Otak: Ancaman Senyap untuk Generasi Muda

Snek Kenyang Palsu: Perut Rasa Penuh, Badan Tetap Tertipu

Naik tangga antara aktiviti fizikal mudah untuk kesihatan

Kenapa 10 Minit Aktiviti Fizikal Sudah Cukup Beri Manfaat

Scroll to Top