Otak & Kanak-Kanak

17 April 2016.

Dua hari ini bermukim di Johor Bahru. Sampai Sabtu tengahari. Pulang Ahad malam. Ada urusan anak.

Di saat bersantai membaca, disapa pasangan muda bersama anak kecil. Bayi perempuan. Dipangku sang ayah.

“Assalamualaikum, Dr Rizal ke ni?” terpacul salam dan soalan. Suara ayah muda menerjah ke gegendang telinga.

“Alaikumussalam warahmatullah. Ya, saya.”

Balas saya ringkas sambil mendongak kepala ke atas. Mencari pemilk salam.

Meninggalkan lembaran kertas buku yang sedang dijamah mata saya.

Kami bersalaman.

“Akmal. Yang ini Ain isteri saya dan yang comel ni baby Sara,” si ayah muda memperkenalkan diri dan keluarga satu persatu.

Saya angguk dan senyum sambil mencuit pipi Baby Sara.

“Dah berapa bulan?” Tanya saya cuba menghilangkan kekok orang introvert.

“Dua bulan lebih,” jawab Akmal sambil tersenyum.

“Jemput duduk.” Pintas saya cepat. Pelik pulak melihat mereka berdua berdiri.

“Maaf ganggu Doc. Saya kenal Doc dari FB.” Kata Akmal.

“Oh ye ke? Saya tertanya-tanya juga di mana kita berjumpa?” balas saya cepat-cepat.

Kami meneruskan perbualan ringkas. Ain hanya menyampuk sekali dua. Baby Sara seolah-olah memasang telinga.

Cuba memahami barangkali. Sekali sekali keluar satu dua perkataan yang hanya dia yang faham. Mahu menyampuk bersembang sekali mungkin.

“Sambil-sambil sembang ni nak tanya pasal perkembangan otak bayi. Kalau dah tahu boleh jaga. Harap tak ganggu Doc.” Akmal berbicara sambil menjeling ke arah Ain.

“Semasa Sara membesar di dalam perut, bahagian yang membesar dengan cepat ialah lapisan cortex. Bentuk seperti Cauliflower. Struktur otak lain membentuk dibawah cortex.”

“Di sinilah letaknya masa depan Sara. Di belakang dahi Sara. Kemampuannya memberi tumpuan, kesedaran, pemikiran, bahasa dan kemampuan membuat keputusan akan berpusat di sini. “ panjang pula mukadimah saya.

“Prefrontal cortex yang terletak belakang mata Sara pula akan terlibat dengan hal-hal perancangan, pelaksanaan dan kawalan kepada pergerakan.” Sambung saya lagi.

Ketika ini Sara mula merengek. Tak faham barangkali. Mahu diangkat.

Ain terus bertindak mendukung Sara sambil menyumbat pacifier ke mulut Sara.

“Ni time tidur Sara ni. Sebab tu dia merengek. Biasa dia diam jer,” Ain memberikan penjelasan.

Saya hanya mengangguk. Tanda faham. Saya sendiri pernah mengalami. Ada empat orang cahaya mata. Boleh tahan juga pengalaman itu.

“Sambung Doc,” pinta Akmal minta dicepatkan.

“Baik. Pada bahagian kanan otak atau hemisfera kanan, adalah bahagian yang terikat dengan hal-hal seni, muzik dan intonasi suara.”


Kata saya sambail meletakkan tangan di tengah-tengah kepala dan beransur mengalihkannya ke sebelah kanan.

Untuk menunjukkan letak duduknya hemisfera kanan.

“Hemisfera kiri pula lebih terikat dengan dengan hal-hal pemikiran logik, konsentrasi dan memahami simbol semasa bacaan dan menulis.”

“Semasa bahagian sedang rancak berkembanglah dinding rumah menjadi tempat kanak-kanak mengekspresikan hasil seni mereka. Peti sejuk, kereta dan lipstick turut menjadi mangsa.” Kata saya sambil tersenyum.

“Jadi macam mana nak elak? Saya tengok rumah kakak saya habis kena conteng dengan anak-anak dia. Sampai flat screen tv pun kena.” Soal Akmal.

Akmal boleh sediakan:
1. Ruang untuk menulis. Akmal dan Ain pun bila nak menulis pun guna ruang yang sama.
2. Alatan menulis yang tidak toksik. Yang boleh dipadam lagi bagus. Bila tulis kena ada kertas. Mesti ada banyak kertas. Berwarna lagi menarik. Pelbagaikan saiz.
3. Masa untuk menulis bersama Sara. Buat bersama. Berulang-ulang. Agar jadi habit.
4. Cerita semasa menulis. Bukan hanya tangan yang bergerak. Gerakkan mulut sekali dengan cerita. Ini Narrative Therapy.

“Oh, begitu ye. Kena bagi tahu kakak ini.” Kata Akmal penuh keterujaan.

Sara menangis pada ketika itu. “Lapar ni budak ni,” kata Ain sambil memandang ke arah Akmal.

“Susu dalam kereta,” pintas Akmal.

“Ok Doc. Terima kasih banyak atas perkongsian. Nanti sambung lagi ye. Kalau datang JB bagitahu saya. Boleh borak-borak lagi,” kata Akmal sambil menghulur tangan bersalam.

“Insyaa Allah,” jawab saya. Ringkas sebagai penutup bicara.

OTAK KITA TANGGUNGJAWAB KITA

Anda Juga Mungkin Berminat

Kenapa Rasa Nak Pitam Bila Berdiri Tiba-Tiba?

Anemia Mampu Jejas Perkembangan Otak Anak?

14 Makanan Bantu Cegah Radang Apendiks!

8 Tips Mudah Jaga Kebersihan Gigi

Kenapa Negeri Pantai Timur Sering Dilanda Banjir?

Biji Cili Penyebab Radang Apendiks?

Scroll to Top