Sakit kepala adalah masalah yang biasa dialami
oleh ramai orang. Namun, tidak semua orang tahu punca
sebenarnya sakit kepala yang mereka alami.
Ada menganggapnya perkara yang remeh, tetapi jika tidak
dirawat dengan betul, ia boleh mengganggu kehidupan seharian.
Dalam artikel ini, kita akan membincangkan 13 punca
sakit kepala sering berlaku mengikut bahagian kepala;
depan, kanan dan kiri serta bagaimana cara menanganinya.
Bahagian Depan
1. Tekanan / Stres
Stres adalah salah satu punca utama sakit kepala
jenis tension headache. Apabila anda tertekan,
otot di bahagian kepala, leher dan bahu menjadi tegang.
Keadaan ini menyebabkan sakit kepala yang berpanjangan.
Tahukah anda?
Tekanan kerja, masalah peribadi atau beban fikiran yang
berlebihan boleh menjadi kepada pencetus utama.
Kajian dalam Journal of Headache and Pain mengatakan bahawa stres kronik boleh meningkatkan kekerapan sakit kepala.
Kaedah seperti teknik pernafasan, meditasi dan senaman regangan dapat membantu mengurangkan ketegangan ini.
2. Sinus / Alahan
Jika anda sering mengalami sakit kepala di bahagian
dahi dan sekitar mata, ia mungkin disebabkan oleh sinus
atau alahan. Sinus tersumbat akan menyebabkan tekanan
dalam rongga sinus, yang seterusnya mencetuskan sakit kepala.
Kajian dalam Allergy, Asthma & Clinical Immunology mendapati, radang sinus boleh menyebabkan peningkatan tekanan dalam kepala, menjadikan sakit kepala bertambah teruk apabila menunduk atau berbaring.
Penggunaan ubat anti-histamin, dekongestan atau wap air panas boleh membantu melegakan gejala ini.
3. Kurang Tidur
Tidur yang tidak mencukupi boleh menyebabkan gangguan
pada sistem saraf dan mencetuskan sakit kepala.
Menurut kajian Sleep Foundation, individu yang tidur kurang daripada 6 jam setiap malam lebih cenderung mengalami sakit kepala migrain. Kekurangan tidur boleh mengganggu keseimbangan hormon dan neurotransmitter dalam otak, menyebabkan kesakitan yang berulang.
Jadi, pastikan anda mendapatkan tidur yang berkualiti
dengan mengamalkan jadual tidur yang konsisten
dan mengurangkan penggunaan skrin sebelum tidur!
Bahagian Kanan
4. Migrain
Migrain sering menyebabkan sakit kepala di sebelah
kanan atau kiri kepala. Ia boleh disertai dengan loya, muntah
dan sensitiviti terhadap cahaya atau bunyi.
Migrain boleh dipicu oleh faktor seperti perubahan cuaca,
tekanan, makanan tertentu atau perubahan hormon.
Kajian dalam The Journal of Headache and Pain, migrain lebih kerap berlaku pada wanita dan dipengaruhi oleh faktor genetik serta hormon.
Rawatan termasuk pengambilan ubat anti-migrain dan perubahan gaya hidup untuk mengelakkan pencetus migrain.
5. Pengambilan Kafein Berlebihan / Kekurangan Kafein
Kafein boleh memberi kesan dua hala kepada sakit kepala.
Jika diambil dalam jumlah berlebihan, ia boleh menyebabkan
sakit kepala rebound, di mana badan menjadi bergantung
kepada kafein untuk mengekalkan keseimbangan bahan
kimia dalam otak.
Sebaliknya, bagi mereka yang biasa minum kopi,
kekurangan kafein secara tiba-tiba juga boleh mencetuskan
sakit kepala akibat penyempitan saluran darah dalam otak.
Tapi jangan risau!
Untuk mengelakkan masalah ini, pengambilan kafein harus
dikawal dan dikurangkan secara berperingkat jika ingin berhenti.
6. Perubahan Hormon
Wanita lebih cenderung mengalami sakit kepala akibat
perubahan hormon, terutamanya sebelum haid, semasa hamil,
atau menopaus. Paras estrogen yang turun naik boleh memberi
kesan kepada saluran darah dalam otak, menyebabkan migrain.
Kajian dalam The Journal of Headache and Pain menyatakan bahawa terapi hormon atau perubahan diet boleh membantu mengurangkan simptom ini. Makanan yang kaya magnesium seperti bayam, badam dan pisang dapat membantu menstabilkan hormon dan mengurangkan risiko sakit kepala.
Bahagian Kiri
7. Tekanan Darah Tinggi
Hipertensi atau tekanan darah tinggi boleh menyebabkan
sakit kepala, terutamanya jika tekanan darah
meningkat secara mendadak.
Sakit kepala jenis ini biasanya terasa di bahagian
belakang kepala atau di sebelah kiri,
ia sering disertai dengan rasa berdenyut.
Jika tidak dikawal, tekanan darah tinggi boleh
meningkatkan risiko penyakit strok.
Mengamalkan diet rendah garam, bersenam
secara berkala, dan mengawal tekanan emosi adalah
antara cara terbaik untuk mengekalkan tekanan darah yang stabil.
8. Penggunaan Skrin Berlebihan
Menatap skrin komputer, telefon, atau televisyen
terlalu lama boleh menyebabkan ketegangan mata
dan sakit kepala.
Menurut kajian dalam British Journal of Ophthalmology, cahaya biru daripada skrin digital boleh menyebabkan sakit kepala akibat keletihan mata.
Untuk mengurangkan kesan ini, gunakan penapis cahaya biru pada peranti anda dan amalkan peraturan 20-20-20 (setiap 20 minit, rehatkan mata selama 20 saat dengan melihat sesuatu yang berjarak 20 kaki).
9. Kekurangan Nutrisi
Kekurangan vitamin dan mineral seperti magnesium,
vitamin B2, dan Coenzyme Q10 boleh meningkatkan
risiko sakit kepala.
Penyelidikan dalam Nutrients Journal menunjukkan bahawa individu dengan kekurangan magnesium lebih cenderung mengalami migrain.
Pengambilan makanan seperti kekacang, ikan, dan sayuran hijau boleh membantu mengekalkan keseimbangan nutrien yang diperlukan oleh tubuh.
Punca Lain Boleh Menyebabkan Sakit Kepala
10. Dehidrasi
Kurang minum air boleh menyebabkan penurunan
tekanan darah dan mengganggu fungsi otak,
lalu mencetuskan sakit kepala.
Kajian dalam Journal of Nutrition mendapati bahawa dehidrasi boleh menyebabkan sakit kepala yang ketara dan keletihan.
Pastikan anda minum sekurang-kurangnya 8 gelas air
sehari untuk mengekalkan hidrasi optimum!
11. Gaya Hidup Tidak Sihat
Kurang bersenam, merokok dan pengambilan
alkohol berlebihan boleh menjadi punca sakit kepala kronik.
Kajian dalam European Journal of Neurology mendapati bahawa individu dengan gaya hidup tidak aktif lebih mudah mengalami migrain.
Amalan gaya hidup sihat seperti senaman berkala, tidur yang mencukupi, dan pemakanan seimbang dapat membantu mengurangkan risiko sakit kepala.
12. Gangguan Saraf
Sesetengah sakit kepala disebabkan oleh gangguan
saraf seperti neuralgia occipital yang menyebabkan
rasa menikam di bahagian belakang kepala.
Sakit kepala jenis ini sering berlaku akibat tekanan
pada saraf occipital.
Jika sakit kepala anda datang dengan gejala
seperti lemah otot atau kebas, segera berjumpa doktor
untuk mendapatkan rawatan lanjut.
13. Tumor Otak (Jarang Berlaku)
Walaupun sangat jarang, sakit kepala yang berterusan
dan disertai muntah atau penglihatan kabur boleh
menjadi tanda masalah serius seperti tumor otak.
Jika anda mengalami gejala ini, segera dapatkan
pemeriksaan perubatan untuk diagnosis yang lebih tepat!
Kesimpulan
Sakit kepala boleh berpunca daripada pelbagai faktor,
daripada yang ringan hinggalah yang serius.
Dengan mengenalpasti punca sakit kepala ini,
anda boleh mengambil langkah yang sesuai untuk mengatasinya!
Dengan amalan gaya hidup sihat, amalkan pemakanan
seimbang dan rehat yang mencukupi, anda dapat
mengurangkan risiko sakit kepala dan
menikmati kehidupan yang lebih berkualiti! 😊