Apa Yang Menyebabkan Mengantuk Waktu Terawih?

Tadi solat tarawih seperti biasa. Di kiri kanan diapit dua lelaki berjubah dan berserban. Janggut panjang.

Kedua-dua tersengguk-sengguk. Mengantuk.

Dari awal solat Isyak sudah menguap. Tanda-tanda serangan hebat mengantuk akan berlaku. Bila imam membaca panjang, serangan mengantuk lebih hebat.

Setiap kali usai beri salam, kedua-dua mata mereka masih terpejam. Dengan mulut sedikit ternganga. Tanda sudah antara alam alpha ke theta.

Keluar masjid terserempak dengan jiran solat tadi. Kereta sebelah menyebelah. Saya beri salam memulakan bicara.

Dalam keadaan malu-malu Abang A jawab salam. Peramah rupanya. Lantas sambung bicara. Katanya hari ini mengantuk sangat.

Soal saya, “Abang jamah apa berbuka tadi”.

“Macam-macam. Nasi tomato ayam masak merah. Ada dua tiga jenis kuih. Karipap, agar-agar dan kuih talam.” Jawab Abang A bersungguh.

“Air mesti air favourite saya. Air Laici Kang”. Tambah Abang A lagi sambil tersenyum.

“Lauk masin tak? Karipap pun terlebih masin? Air manis pula tu?” soal saya lagi sambil tersenyum.

“Ya betul. Macam mana tahu? Ayaq manih serupa lori gula tumpah.” kata Abang A pula.

“Begini Bang. Makanan dan minuman yang Abang makan tadi mungkin penyebab kepada mengantuk tu. Nasi dan kuih muih boleh jadi penyebab.”

“Masin lauk dan inti karipap lagi satu penyebab. Makanan-makanan tu termasuk dalam kategori karbohidrat ringkas. Bila kita makan, makanan itu akan membentuk banyak karbon dioksida.”

“Bila karbon dioksida banyak, kita jadi letih. Badan jadi lemah. Mengantuk pun bertandang.”

“Banyak garam juga menyebabkan kita letih. Badan jadi berat. Garam mengumpul air di bahagian yang tidak sepatutnya.”

“Otak jadi tidak aktif. Fikiran melayang. Banyak benda yang muncul dalam fikiran.”

“Akibatnya, kita menguap, rasa letih, mengantuk dan berakhir dengan terlelap. Walaupun dalam solat.” Syarah saya panjang seolah-olah menunggu peluang membuat tazkirah tanpa jemputan.

“Oh ya ka? Patutlah saya selalu Tarawih jer mengantuk. Saya balun betul-betul masa makan.”

“Saya memang suka kalau makanan masin sikit. Selalu tambah kicap kalau kurang masin”. Tambah Abang A lagi. “Jadi nak makan apa?” soal Abang A pula.

“Begini.

  1. Kita makan makanan yang kurang masin.
  2. Makan makanan dalam kategori kompleks karbohidrat.
  3. Contohnya ialah banyakkan buah-buahan dan sayur-sayuran.”

“Oh, saya memang kurang ambik benda-benda tu masa puasa ni. Geram tengok nasi dengan kuih-kuih ni,” sambung Abang A lagi sambil tersengih.

“Tak pe. Lepas ni boleh try kot makan buah dan sayur banyak sikit,” celah saya sambil tersenyum.

“Kena buat. Nak pulun tarawih ni. Tahun depan belum tentu jumpa.” Kata abang A bersungguh.

“Syeikh, minum apa sesuai?” Soal Abang A sambil membuka pintu kereta.

“Ayaq nyok bang.” balas saya dengan loghat utara. Kami dua-dua senyum.

Mengambil makanan yang betul membantu kualiti ibadah kita. Membantu otak menjadi aktif. Mengambil minuman kurang gula juga membantu meningkat fokus.

Fikiran tidak melayang. Solat lebih kusyuk. Bacaan lebih bagus. Zikir lebih melekat.

Perlu belajar tentang otak. Perlu ambil tahu tentang makanan. Perlu jaga hidup kita.

Kualiti Ibadah kita tanggungjawab kita.

Anda Juga Mungkin Berminat

9 Kesan Membaca Al Quran Ke Atas Otak

3 Resepi Roti Sedap, Sihat Dan Mengenyangkan

12 Khasiat Lada Hitam (Blackpepper) Ramai Jarang Dengar

Resepi Ramadan Sihat Dengan Mi Rendah Gluten

Kenapa Chia Seeds Perlu Direndam Sebelum Dimakan?

Berapa Banyak Perlu Letak Perasa Dalam Masakan?

Scroll to Top