Anda seorang introvert atau extrovert?
Kedua-dua ini hanya klasifikasi personaliti. Memudahkan untuk memahami diri dan orang lain.
Bukan bandingan yang mana lebih baik. Hanya perbezaan untuk pemahaman.
Introvert cenderung untuk bersendiri. Lebih selesa begitu.
Berada di khalayak ramai mengundang gelisah. Dalam berbual lebih banyak mendengar.
Bercakap bila perlu. Bila ditanya. Jawapan pendek. Tiada bunga-bunga atau renda.
Introvert banyak menghabiskan masa berfikir. Bahagian kelabu otak (gray matter) didapati lebih tebal disekitar kawasan prefrontal cortex.
Letaknya di belakang dahi kita. Menunjukkan orang introvert lebih banyak fikir. Lebih abstrak fikirnya.
Cara dopamin (hormone gembira) bekerja di otak introvert juga berbeza.
Ianya tidak seaktif seperti otak orang extrovert. Andai menerima kejutan (seperti memenangi tempat pertama), amygdala (yang memproses emosi) aktifnya biasa-biasa sahaja.
Andai menerima ganjaran, nucleus accumbens yang sepatutnya menjadi lebih aktif juga biasa-biasa aktifnya.
Natijahnya, akan ditanya “Tak seronok ke dapat hadiah?”
Bukan si introvert tidak gembira. Kegembiraan itu berlapik. Punya seni tersendiri.
Yang berbunga hatinya. Wajahnya biasa-biasa sahaja. Tiada riak besar.
Apabila Hafiey, anak sulung mendapat tempat pertama pertandingan Sains peringkat Negeri Sarawak, wajah saya biasa-biasa saja.
Apabila Hafiey mendapat straight A dalam SPMnya, tiada gelombang merah menerjah ke muka. Tetap biasa-biasa sahaja.
Isteri bertanya “Tak seronok ke?”
“Alhamdulillah, seronok.” Jawapan ringkas.
Dalam hati tumbuh taman. Muka biasa-biasa saja.
Andai anda punya pasangan, anak atau ibubapa introvert, usah gusar andai hadiah diberi tidak menghasilkan reaksi yang diharapkan.
Mereka gembira. Tiada pertunjukkan kegembiraan sahaja. Tiada perarakan hadiah yang diberi.
Perlu tahu bagaimana otak berfungsi. Rumahtangga akan harmoni.
Persahabatan terpelihara. Ofis aman. Tiada dengki. Jauh dari salah sangka.
Nak tahu tentang ekstrovert pula? Baca disini: Ekstrovert & Otak