Kesan Stress & Cara Menanganinya

12 Julai 2016.

Tahun 2009. Masih Di Canberra. Bekerja sebagai Consultant Clinical Psychologist dengan PPC Worldwide.

Syarikat ini adalah penyedia perkhidmatan psikologi, latihan dan sumber manusia. Saiz dan kapasitinya besar. Permintaan untuk perkhidmatan tinggi.

Waktu itu pertengahan bulan Julai. Musim sejuk. Malamnya -5 darjah selsius.

Pagi-pagi lagi Abbey, Clinical Manager saya hantar mesej. “Rizal, boleh singgah ofis sekejap pagi ni?” Ringkas sahaja mesejnya.

Abbey lebih muda dari saya. Gaya corporat. Gayanya seperti menonton cerita-cerita Hollywood.

Abbey masih bujang. Rambut sekitar paras bahu. Sentiasa menjaga penampilan.

“Mesti ada sesuatu. Kalau tidak dia mesej terus sahaja. Tak perlu jumpa.” Itu telahan saya.

Waktu itu, isteri dah pergi kerja. Saya bersiap untuk hantar anak-anak ke Canberra Islamic School.

Mesej Abbey saya balas ringkas. “No worries. Will drop by.” Saya gunakan gaya bahasa Aussie.

Sampai sahaja ofis, Abbey tersenyum lebar. “My savior is here” (penyelamat aku sudah sampai).

“Whats up Abbey? I can smell something fishy here,” (Apa hal Abbey. Macam ada yang tak kena jer – lebih kurang terjemahannya). Saya cuba mencungkil apa agenda terlindung Abbey.

“Ada permintaan untuk sampaikan tajuk mengenai stress di syarikat T (Syarikat telekomunikasi tersebar Australia pada ketika itu). Saya tak nampak orang lain yang layak kecuali kamu Rizal.” Itu kata-kata Abbey yang menyebabkan saya tertelan air liur.

“Sesi kali ini untuk eksekutif kanan dan pengurus. Program dua minggu dari sekarang.” Jelas Abbey.

“Saya kata OK. Saya buat.” Balas saya.

Banyak orang bercakap tentang stress. Biasanya akan dimulakan dengan apa itu stress. Pasti tertidur lena audiens dibuatnya.

Saya mahu fokuskan dua aspek sahaja. Pertamanya kesan. Keduanya cara atasi. Konsepnya ialah learning by doing. Sama macam di Bootcamp hujung Julai ini nanti.

Bukan sekadar dengar. Kena buat. Baru faham. Baru hadam.

Kesan Stress

Kesan stress menakutkan. 80% penyakit fizikal manusia berpunca dari stres. Ianya membunuh.

Ada dua hormone utama yang dirembeskan. Kedua-duanya adalah pembinasa. Satu dikenali sebagai homocystein. Satu lagi sebagai cortisol.

Cortisol menghapuskan kolagen. Wajah jadi tua. Kulit jadi kedut. Tak boleh diseterika lagi.

Cortisol meningkatkan keinginan untuk makan makanan ringan. Segala jenis keropok, asam-asaman nampak lazat. Meleleh air liur dibuatnya.

Restoran segera terus jadi idaman. Minuman mesti ekstra manis. Baru ada ummpph.

Natijahnya? Kita akan membesar sebagai johan. Menjadi jalur lebar.

Homocystein menyebabkan keradangan dalam tubuh kita. Cuba cubit tangan kita kuat-kuat. Apa yang akan berlaku. Terbentuk warna merah.

Warna merah akan jelas pada yang berkulit cerah. Andai tidak nampak, minta kawan yang tengah marah dengan kita cubitkan. Insyaa Allah merahnya akan kekal lama.

Homocystein juga membantu pembentukan radikal bebas. Sel-sel dalam tubuh kita akan mati satu persatu. Sedikit demi sedikit.

Stres juga boleh MENGECILKAN OTAK.

Penting untuk tahu cara tangani stres. Mahu tahu? Betul mahu tahu?

Lagi Kesan Stress

Petang tadi di rancangan Kompas Kesihatan Radio IKIM. Ada sentuh pasal stres. Pada kesannya.

Bila stress, adrenalin dikeluarkan. Tugasnya menyempitkan pembuluh darah. Darah membawa nutrisi ke otak.

Bila saluran mengecil nutrisi kurang mengalir ke otak. Otak jadi lembab. Jadi kosong.

Cortisol pula membuat otak menjadi tua sebelum usia. Ia merosak dan membunuh sel otak di hippocampus – memori manusia.

Cortisol juga membesarkan amygdala. Ini pusat memproses emosi. Perkara berkaitan emosi digandakan dua kali.

Andai takut, dua kali ganda takut dari biasa. Andai marah dua kali lebih dari biasa. Andai negatif, semakin tinggi nilai negatifnya.

Pelajar yang stress kerana ada ujian, tidak akan mampu mengingat apa yang dipelajari.

Sebabnya ada gangguan pada hippocampus. Staf yang stress kerana perlu pembentangan, tidak akan mampu membentang dengan baik.

Begitu juga dengan orang bisnes. Andai hidup digenangi stress mana mungkin halatuju bisnes terarah lurus. Pasti penuh bengkang bengkoknya.

Semasa program berlangsung, banyak soalan yang ditanya. Orang putih suka bertanya.

Saya teringat ketika mengajar di The Australian National University. Ketika itu baru sahaja masuk ke kelas. Letakkan dan susun nota di atas meja.

Saya angkat kepala. Sudah ada tiga atau empat tangan terangkat. Mahu bertanya soalan.

Di Malaysia lain. Kena tanya “Ada soalan?” Responsnya agak lambat. Mungkin malu bertanya.

Di organisasi T ini banyak soalan yang ditanya. Terutama yang berkaitan otak dan hormon. Alhmadulillah semua di jawab satu persatu.

Cara Untuk Menangani Stress

Bahagian kedua ialah cara mengawal stress. Fokus utama saya ialah SHARNAS

S : Solat – Solat dan zikir ada kesan langsung pada otak. Kuasanya besar.
Pada Orang putih disebut prayer. Akronimya lain.

H : Hardware – Ini adalah otak. Kesan stress pada otak perlu diketahui. Cara tahu otak beroperasi semasa stress.

A : ANTs – adalah Automatic Negative Thoughts. Peserta diajar untuk kenal ANTs. Tangkap ANTs.

Gantikan dengan APS iaitu Automatic Positive Thoughts. Peserta Bootcamp di Janda Baik akan diajar bab ini.

R : Relaksasi – Teknik relaksasi otot ini sangat efektif. Ia redakan ketegangn otot. Badan jadi lembut dan santai.

N : Nafas – Pernafasan kita akan bertukar semasa stress. Jadi pendek. Cepat.

A : Aktiviti – Lakukan aktiviti yang seronok dilakukan. Aktiviti ini mungkin terhenti seketika. Lakukan kembali.

S : Senaman – Ya. Senaman adalah ubat mujarab untuk stres. Otak akan rembeskan dopamine – hormone bahagia manusia.

Andai stress ingat SHARNAS. Buat SHARNAS. Pastikan konsisten.

Anda Juga Mungkin Berminat

14 Kebaikan Minum Air Kosong Pada Suhu Bilik

4 Tips Pemakanan Untuk Ibu Hamil

29 Makanan Kaya Kalsium Untuk Tulang Kuat

Bagaimana Cara Kenalpasti MSG Dalam Makanan?

6 Makanan Tingkatkan Sistem Imun Segera

Pengganti Gula Putih Untuk Kesihatan

Scroll to Top