Jam 12:40 tengahari. Usai solat zohor, Jemaah bergegas keluar. Aku rehat sekejap di masjid.
Sedang mengamati kalam dari langit, ada sergahan dari belakang. Terkejut aku dibuatnya. Mamat yang menyergah ketawa berdekah-dekah. Puas hati barangkali.
Aku ikut senyum melihat gelagatnya. Ketawanya memecah sunyi dalam masjid. “Bro, ini masjid. Bukan fakulti kau. Hormat sikit,” kataku sambil tersenyum.
“Astaghfirullah.” Sulaiman cuba meredakan tawanya. Walau dikekang mulutnya, masih terkeluar sedikit tawanya.
“Apahal dengan kau Sulaiman?” tanyaku sedikit serius.
“Tak de aku nampak kereta kau. Jadi aku singgah jap. Aku memang cari kau pun.
Sebelum kau tanya, baik aku cakap. Aku dah solat kat fakulti tadi. Tengok kau tak ada. Jadi aku ke sinilah.” Balas Sulaiman, panjang.
“Apa cerita?” soalku lagi.
“Isteri aku suruh aku berguru dengan kau pasal oxytocin. Cuba cerita sikit. Aku nak tahu.” Pinta Sulaiman tanpa selindung.
“Apa yang kau mahu tahu?” soalku ringkas.
“Kau tolong cerita pasal oxytocin. Aku bagi kau lima minit. Cepat sikit.” Ujar Sulaiman sambil tersenyum. Menyerlahkan sifat kebudak budakkannya.
“Ok. Oxytocin adalah horman cinta. Hormon kasih sayang. Orang saling percaya apabila oxytocin keluar. Apabila tidak keluar kita rasa sangsi.
Apabila oxytocin tinggi, kita senang berkawan. Senang berkasih. Hypothalamus yang keluarkan oxytocin ini.” Jelas aku. Berhenti untuk menarik nafas.
“Lagi-lagi.” Pinta Sulaiman.
“Oxytocin baik untuk S.T.K.” Belum habis aku terangkan apa itu S.T.K., Sulaiman menyampuk. “Apa itu S.T.K?”
“Sabar dulu beb. Urut dada sikit. Aku tengah nak cerita ni,” kataku sedikit tegas pada Sulaiman.
S yang pertama ialah Stres. Oxytocin bantu kendurkan stres. Keluarkan kita dari kurungan stress dengan mudah.
T ialah tidur. Apabila oxytocin tinggi, tidur jadi nyenyak. Oxytocin bantu kurangkan hormone stress – kortisol.
K ialah ketagih. Kita ada ketagih pada makanan tertentu. Oxytocin mampu sirnakan perasaan itu.
“Oooo, menarik, menarik. Ok. Macam mana nak keluarkan oxytocin ni.” Soal Sulaiman sambil menepuk-nepuk belakangku. Serlahkan lagi perangai kebudakkannya itu.
“Nak keluarkan Oxytocin amalkan 3 P. P yang pertama ialah PELUK. Rajin-rajin peluk anak. Peluk isteri. Jangan menggatal peluk orang lain Sulaiman.” Kataku sambil tersenyum menolak bahu Sulaiman.
“P yang kedua ialah PANDANG MATA. Apabila bercakap dengan anak atau isteri pandang mata. Bukan pandang handphone atau tab kau tu.” Kataku sambil kenakan Sulaiman sekali lagi.
“P yang ketiga ialah PUJI. Rajin-rajin puji anak dan isteri. Puji kawan pun ok. Pastikan pujian itu ikhlas ya Tuan Sulaiman.” Kataku lagi dengan lenggok bahasa peril pada Sulaiman.
Sulaiman senyum. “Ok aku belah dulu. Nak gi peluk bini jap.” Kata Sulaiman dengan tawa yang kuat sambil berlalu pergi.
Sebelum keluar masjid Sulaiman berpaling sambil tersenyum. “Nanti aku belanja kau makan. Terima kasih utnuk kuliah zohor engkau ini.” Sambung Sulaiman sambil mengangkat-angkat keningnya.
Aku hanya mengangkat jari tanda bagus sambil melihat Sulaiman berlalu pergi.